Peranti

Fujifilm X100s dan X20 – keupayaan dipertingkat

Tampil dengan gayaan retro, kamera ini larut bersama teknologi foto terbaik Fujifilm. 

Sejak mula diperkenalkan dua tahun lalu, kamera Fujifilm X100 menempa perhatian pelbagai penggemar fotografi global. Dengan reka bentuk retro, ia mengembalikan ingatan mereka terhadap era ketika fotografi menjadi satu platform ekspresif yang mengujakan; kamera asas dengan buatan tahan lasak dan kaedah operatif yang ringkas. 

Ia serta-merta meniti di bibir kelompok penggemar fotografi. Terutama mereka yang menanggapi fotografi secara serius. Kualiti imej yang dihasilkan daripada sensor 12.3 APS-C X Trans CMOS yang digandingkan dengan pemproses EXR Processor diangkat sebagai mampu memberikan kualiti yang sangat baik dari segenap aspek. 

Namun, banyak juga perkara yang dikiritik berhubung prestasi keseluruhan kamera ini. Antara yang kerap dinyatakan adalah fokus manual yang sukar digunakan dan auto-fokus lambat. 

Tetapi, banyak juga ciri lain yang meletakkan model ini di depan. Misalnya ciri view finder hibrid yang pertama kali diperkenalkan, Electronic View Finder (EVF) dan Optical View Finder (OVF). Walaupun tanpa paparan ‘live-view’ pada skrin belakang, imej yang dirakam akan terpapar dalam view finder dan ia sangat memudahkan pengguna. 

Ketika pameran CES 2013 yang berlangsung baru-baru ini, Fujifilm sekali lagi melegakan khalayak dengan pengenalan model Fujifilm X100s dan sebuah lagi model kompak X20.

Naiktaraf utama X100s 

Dengan penampilan fizikal yang kekal sama, X100s sebenarnya diberikan spesifikasi yang jauh berbeza berbanding versi terdahulu. Antara pembaharuan utama adalah:

Penggunaan sensor APS-C X-Trans CMOS II 16.3 megapixel yang dibangunkan khas untuk model ini.  Walaupun sensor yang sama digunakan pada model X-Pro 1 dan X-E1, X100s disifatkan mampu memberikan kualiti imej yang lebih baik.

  1. Pemproses EXR Processor II dikatakan berupaya mengurangkan tahap noise pada gambar yang terhasil sehingga 30 peratus.
  2. Kemampuan auto-fokus (AF) juga dipertingkatkan. Fujifilm mendakwa jenama itu kini memberikan AF terpantas di dunia dengan rekod 0.08 saat untuk subjek berada dalam jarak fokus ketika menggunakan AF.
  3. Bagi fokus manual, X100s memperkenalkan apa yang dipanggil Digital Split Image Display – kali ini dilengkapi dengan live view pada skrin belakang. Ciri ini bukan sesuatu yang baru, terutama kepada mereka yang biasa dengan kamera analog dan mekanikal sepenuhnya. Cuma, bagi kamera digital, ia adalah kali pertama diperkenalkan oleh mana-mana pengeluar.
  4. Advance Filter turut diperkenalkan dengan pelbagai kesan visual baru. Misalnya,  Pop Color, Toy Camera, Miniature, Dynamic Tone, Partial Tone, Partial Color, High Key, Low Key dan Soft Focus.

Aksesori tambahan 

Turut ditawarkan secara berasingan ialah: 

  1. Wide Conversion Lens WCL-X100 – menukar jarak fokal bagi X100s dari 35mm kepada 28mm.
  2. Sarung kulit – tidak perlu lagi melucutkan sarung berkenaan untuk menukar bateri atau mengeluarkan kad SD.
  3. Shoe Mount Flash – tiga versi flash boleh digunakan oleh unit ini iaitu EF-2-, EF-X20 dan EF-42.

Bagaimanapun, pasaran Malaysia masih lagi menunggu kehadiran model ini untuk dilancarkan. Dijangka spesfikasi untuk pasaran tempatan adalah sama dengan unit global X100s. 

[hr top]
Gallery
[hr_invisible]

[hr]
Google ads

admin

mekanika.com.my / permotoran gaya baru untuk generasi baru.
Back to top button