
HONDA NSX DILANCAR DI JEPUN, 23.7 JUTA YEN (RM940K)
Ini sangat aneh sebab kereta Honda dilancarkan lewat di negaranya sendiri. Honda NSX secara rasminya dilancarkan di Tokyo oleh Honda Motor Japan. Model yang paling ditunggu-tunggu selepas lebih 2 dekad pelancaran model pertamanya pada 1990.
Lebih mengejutkan, harga jualan rasminya ialah 23.7 juta yen atau bersamaan dengan RM940,000 nilai tukaran terus menjadikannya kereta Jepun paling mahal pernah diperkenalkan.
Sebelum ini, model flagship di Jepun yang paling premium ialah Lexus LS bagi varian Executive LS600hL (long wheel base + hybrid). Ia dijual pada harga 15 juta Yen atau kira-kira RM594,000.
NSX model baru ini juga berharga 3 kali ganda dari model pertamanya. Ia tidaklah mengejutkan kerana dengan segala keringat dan teknologi yang dicurahkan, NSX bukanlah sesuatu yang anda harapkan akan menjadi “mampu milik” seperti Nissan GTR.
Seperti yang kami laporkan sebelum ini, di Australia, NSX dijual pada harga RM 1.3 juta, pasaran yang terdekat bagi pemanduan sebelah kanan. Walaupun Honda adalah jenama Jepun, NSX sebenarnya hampir 100 peratus produk Amerika, justeru ia dikenakan duti import yang sama dengan jenama luar yang dijual di Jepun.
Penyelidikan dan pembangunan kereta ini dibuat di kilang Honda di Performance Manufacturing Center di Marysville, Ohio. Ia menggunakan teknologi robotik terkini yang dibantu oleh 110 jurutera berpengalaman. Bayangkan kerja mengecat sahaja mengambil masa 4 hari dengan 11 lapisan berbeza.
Walaupun harganya di sana boleh menyebabkan rakyat Jepun mengeluarkan kata-kata kesat, tetapi itu tidak akan berlaku kerana di Jepun banyak juga orang kaya raya. Tahun lepas sahaja, jualan kereta sport di sana lebih 42,500 unit, yang tertinggi dalam tempoh 10 tahun.
Unit pertama dijangka akan diserahkan pada pembelinya pada Februari tahun depan. Ia dijual menerusi saluran eksklusif Honda NSX Performance Dealer dan Honda mensasarkan akan menjual 100 unit NSX setahun. Untuk rekod, di Amerika, NSX dijual bermula USD 156,000 (RM640,000)