
LAFERRARI DENGAN PERBATUAN 14KM MUNGKIN MENJADI MILIK ANDA – KALAU MAMPU LA
RM Sotheby akan melelong sebuah Ferrari LaFerrari keluaran tahun 2016 dengan perbatuan yang cukup rendah: 14 kilometer sahaja dari kilang. Ia merupakan satu daripada 499 unit LaFerrari yang dihasilkan dan unit ini boleh dianggap sebuah unit baharu dan tak sama dengan unit terpakai yang ada di pusat pameran kereta eksotik.

Harganya kini dianggarkan sekitar USD4.295 juta jauh meningkat sebanyak USD2.8 juta berbanding ketika mula-mula dipasarkan dahulu. Pemiliknya telah membeli supercar ini pada tahun 2016 tapi hanya mendaftarkannya dua tahun kemudian.
Menariknya walaupun tidak bergerak kemana-mana, ia dijaga dengan rapi dan sentiasa diselenggara mengikut jadual oleh pemiliknya. Hmm, tak bergerak tapi minyak hitam selalu dtukar, lain macam level kaya pemilik ni. Kalah teruk pempengaruh sengal yang kata sijil SPM tak penting tu.

Ia bukan diselenggara di bawah pokok tapi dihantar ke pusat servis Ferrari mengikut jadual pada bulan Disember 2022 dan Jun 2022. Bateri hibridnya juga ditukar baharu pada tahun 2021. Kini ia dilengkapi dengan bateri lithium terbaru sepertimana disarankan oleh Ferrari.
Jadi dengan kata lain, supercar ini berada dalam keadaan sama seperti kereta baharu. Pemilik baharu juga akan menikmati ciri-ciri tambahan seperti ekzos sport, sistem lifting suspensi hadapan serta pakej sistem kamera trek. Ia juga dilengkapkan dengan angkup brek berwarna merah, tali pinggang keledar merah dan rim bersaiz 20 inci warna hitam. Logo “Cavallino Rampante” pula disulam pada bahagian perehat kepala.
Kemasan dalaman LaFerrari istimewa ini berwarna Bianco Avus dan bukannya Rossa Corsa seperti yang lain. Istimewa betul ni.

Sebagai antara supercar hibrid terawal, sama seperti McLaren P1 dan Porsche 918 Spyder, LaFerrari ini dikuasakan dengan enjn 6.3 liter NA V12 yang digandingkan dengan motor elektrik dan sistem KERS. Gabungan ini akan menghasilkan 930hp kuasa maksima dan bakal membawanya mencecah kelajuan maksima 350 kmj. Kami jamin LaFerrari putih ni tak percah cecah pun kelajuan 100 kmj dengan perbatuan 14 kilometer tu.










