Buletin

HSDM LANCAR HYUNDAI TUCSON 1.6L TURBO – RM145,588 SEUNIT 

Hyundai-Sime Darby Motors (HSDM) baru-baru ini telah melancarkan varian 1.6L Turbo GDI (T-GDI) petrol yang baru untuk SUV kompaknya, Tucson. 

Ditawarkan pada harga RM145,588 (di atas jalan tidak termasuk insurans), enjin yang dipadankan dengan kotak gear klac berkembar tujuh kelajuan (7DCT) itu mampu menjana kuasa 177PS pada 5,500rpm dan tork maksimum 265NM dari 1,500 hingga 4,500rpm.

Kotak gear 7DCT yang dibangunkan sendiri oleh Hyundai itu menawarkan penukaran gear dan pecutan pantas.

Selain rangkaian kuasa yang baru, varian tersebut juga didatangkan dengan pelbagai ciri seperti lampu utama LED bersama Static Bending Lights, fungsi Auto Hold, pintu belakang pintar dan rim baharu yang lebih sporty.

Tucson dibina di atas struktur kerangka yang diperbuat daripada 51 peratus besi ultra kukuh untuk meningkatkan ketegarannya. Ia juga dilengkapi pelbagasi sistem keselamatan pasif dan aktif. Antaranya termasuklah enam beg udara, sistem Vehicle Stability Management (VSM), Hill Start Assist Control (HAC), Downhill Brake Control (DBC) dan Electric Parking Brake (EPB).

Direka berdasarkan kepada falsafah rekaan Fluidic Sculpture 2.0 Hyundai, Tucson memiliki penampilan yang sporty, berani dan atletik. Ruang kabin pula nampak premium menerusi penggunaan material lembut.

HSDM ada menawarkan aksesori tambahan seperti dua pakej tempat duduk serta kemasan dalaman dengan pilihan warna merah dan putih. Tidak ketinggalan, bodykit dan rim bersaiz 19 inci.

Menjadi SUV segmen C paling laris Hyundai, Tucson mencatat jualan 238,951 unit pada tahun lalu di peringkat global, naik 9.75 peratus berbanding tahun sebelumnya.

HSDM menawarkan jaminan selama lima tahun atau perbatuan sejauh 300,000km (mana-mana tiba dahulu). Tucson juga hadir bersama servis percuma untuk jarak sejauh 50,000km dalam tempoh tiga tahun.

Google ads
Back to top button