Buletin

MINI EV HUAZI OMEGA. 220 SEKALI CAJ, TOP SPEED 100KM/J. BERMULA RM32K SAHAJA

Jiangsu Huazi Automobile, atau Huazi Auto telah melancarkan Omega, sebuah EV mini dua pintu, empat tempat duduk pada 13 Oktober lalu.

Skop perniagaan Huazi Auto termasuklah trak, kereta penumpang, casis dan membuat alat ganti kereta serta perkhidmatan pergudangan kargo am selain import/eksport komoditi.

Huazi Omega menawarkan dua pilihan jarak gerak sejauh 128km dan 220km. Ia dikuasakan oleh pek bateri 10.24kWh dan 18.43kWh, selain dilengkapi sistem pacuan empat roda dwi-motor. Kuasa gabungan dwi-motor ialah 24kW dengan kelajuan maksimum 100km/j.

Bahagian hadapan Omega mengetengahkan rekaan retro dengan dua lampu utama berbentuk bulat, di samping beberapa lampu bulat lebih kecil di bahagian bawahnya.

Omega berukuran 3,444/1,550/1,535mm dengan jarak roda 2,350mm. Dari arah sisi, kereta itu hadir dengan badan dua tona dan satu pintu pada setiap sisi. Bahagian belakang dan reka bentuk kabin Huazi Omega bagaimanapun masih tidak didedahkan.

Data sedia ada menunjukkan bahawa bahagian dalaman dilengkapi fabrik kulit pada tempat duduk serta stereng. Terdapat juga panel instrumen dan skrin kawalan pusat 9 inci dengan fungsi seperti Bluetooth dan Wifi.

Dua varian Omega bakal ditawarkan pada harga sekitar AS$6,900 (RM32,533) dan AS$8,300 (RM39,135).

Google ads
Back to top button