Buletin

HUMMER H1 ELEKTRIK – ARNOLD SCHWARZENEGGER PUN TERUJA

Kreisel Electric telah bekerjasama dengan pelakon dan bekas gabenor California, Arnold Schwarzenegger untuk memperkenalkan Hummer H1 elektrik yang pertama di dunia.

Jentera berwarna merah itu dipertontonkan kepada umum di pusat penyelidikan dan pembangunan Kreisel Electric di Austria. H1 itu dibangunkan dalam masa cuma dua bulan dan dilengkapi pek bateri berkapasiti 100kWh.

Bateri tersebut menggerakkan dua unit motor elektrik yang memberikan kenderaan pacuan semua roda itu gabungan kuasa mencecah 490PS. Kuasa itu membolehkan H1 yang seberat 3.3 tan bergerak sejauh 300km dan memecut selaju 120km/j setiap kali baterinya dicaj penuh.  

Pengasas Kreisel Electric, Markus Kreisel menyatakan bahawa pihaknya tidak akan menghasilkan jentera sama dalam jumlah yang banyak. Dia menyifatkan H1 itu sebagai jentera yang memiliki kuasa terpendam dan menawarkan pemanduan yang cukup senyap.

“Pada musim sejuk lalu, Kreisel Electric  telah menukar Mercedes-Bez G-Class saya menjadi jentera elektrik. Kini, sebuah Hummer pula. Jika Kreisel Electric  terus berinovasi seperti ini, saya rasa boleh terbang ke sini dari Los Angeles dengan pesawat elektrik,” kata pelakon filem Terminator itu.

Selain memperkenalkan H1 elektrik, Kreisel Electric  turut membuka pusat pembangunan dan pengilangan baharunya yang memiliki keluasan 75,347 kaki persegi. Kemudahan itu melibatkan sebuah bengkel prototaip dan satu saluran pengilangan automatik sepenuhnya.

kredit foto: newatlas.com

Tags
Google ads
Back to top button