
HYDROLOCKING – SALAH SATU CARA UNTUK MEMBUNUH ENJIN KERETA ANDA
Sekarang cuaca di Malaysia agak tidak menentu dan hujan yang agak lebat sentiasa turun menyebabkan kebanyakan jalan raya ditenggelami air. Memang ramai pemberani yang dengan selamba meredah air banjir tanpa memikirkan bahaya yang bakal menimpa enjin kereta mereka. Kalau selamat tak apalah, syukur tapi kalau tiba-tiba semput dan mati macam mana? Rabak poket weh. Jadi nak buat apa-apa tu kena la fikir panjang dulu.

Hydrolock berlaku bila air berjaya masuk ke dalam enjin kereta anda. Kalau anda memang kaki kereta dan tahu sedikit sebanyak tentang operasi enjin pembakaran dalaman. Anda tentu tahu yang enjin kereta diperbuat daripada logam dan pembakaran dalaman anda berlaku untuk menggerakkan kereta anda. Sudah tentu air bukan salah satu keperluan dalam pembakaran dalaman kecuali untuk sistem penyejuk.
Jika sejumlah air masuk ke dalam selinder, kegagalan enjin akan berlaku. Bahagian dalaman enjin ICE khususnya kebuk pembakaran dihasilkan untuk memampatkan tekanan udara dan bahan bakar seperti petrol. Air bukannya senang untuk dimampatkan kecuali bila tekanan pada tahap tertentu dikenakan. Kebuk pembakaran bukanlah tempat yang sesuai untuk air.
Kebanyakan kes berlaku bila air masuk ke dalam enjin menerusi ruang kemasukan udara. Lebih-lebih lagi jika ruang tersebut terbenam di bawah paras permukaan air. Sebab itulah jentera off-road mempunyai snorkel dik (walaupun adanya yang pakai snorkel tapi masuk lopak pun ketar lutut).

Pusingan aci engkol juga akan terganggu jika kebuk pembakaran dimasuki air. Aci engkol akan menaikkan piston ke atas untuk memampatkan campuran bahan api dan udara tapi kalau air masuk sekali macam mana Korang rasa? Sudah tentu bencana bakal terjadi.
Kalau anda bertuah, hydrolock mungkin hanya akan menyebabkan enjin anda mati. Ada juga kes di mana enjin menjadi melahu pada kelajuan rendah dan membuatkan kereta anda kehilangan kuasa. Dalam keadaan ini mungkin penyelesainnya hanyalah dengan melakukan flushing pada enjin dan menggantikan palam pencucuh baharu. Tapi kena periksa betul-betul sehingga anda pasti tiada lagi baki air dalam sistem enjin anda. Penukaran gasket juga satu langkah bijak.
Kerosakan yang lebih besar akan berlaku bila enjin memasuki selinder khususnya jika kereta anda menggunakan enjin berkuasa tinggi. Bebanan yang bertambah mungkn akan merosakkan komponen dalaman enjin. Komponen utama yang selalu menjadi mangsa ialah rod penyambung.
Jika rod penyambung bengkok, ia perlu diganti dan keseluruhan enjin perlu dibuka. Kalau ianya terpatah dua, serpihan logam akan memasuki bahagian selinder dan merosakkan bahagian dalaman. Ia mungkin menyebabkan enjin terpaksa diganti. Lagi teruk kalau kena scrap terus.
Macam mana nak elakkan hydrolocking? Senang je. Jangan cuba-cuba memandu kereta masuk ke laluan berair. Kecualilah jika anda menggunakan kenderaan 4×4 yang sudah diubahsuai setinggi tingkat satu flat DBKL.





