
HYUNDAI GENESIS COUPE – MODEL COUPE MEWAH SUATU KETIKA DAHULU UNTUK PASARAN AMERIKA
Percayalah, sudah pasti ramai diantara peminat automotif tidak pernah menyedari akan kehadiran model coupe yang satu ini. Ianya adalah Hyundai Genesis Coupe, sebuah model coupe level premium yang dikeluarkan melalui kilang pemasangan di Ulsan Korea Selatan tetapi juga dikhususkan untuk pasaran Amerika Syarikat.
Hyundai Genesis Coupe ini asalnya telah dilancarkan pada Oktober 2008 di pasaran Korea Selatan dan ianya merupakan model sport coupe pacuan roda belakang pertama daripada Hyundai yang mana ianya platform secara asasnya dengan model mewah Hyundai Genesis Sedan. Dan Hyundai Genesis Coupe ini mula tiba di pasaran Amerika Syarikat setahun kemudian. Dan bukan rahsia lagi ketika itu Hyundai Amerika Syarikat mahu mencabar segmen sport coupe mewah seperti Infiniti G37 Coupe.

Dan model yang dipaparkan ini adalah merupakan model versi kemaskini 2013 setelah beberapa tahun berada di pasaran. Ketika versi facelift ini dilancarkan, bahagian fascia hadapan ini mengambil kira rekaan bahasa Hyundai yang baharu ketika itu, sama seperti yang digunakan pada model Hyundai Veloster yang telah dilancarkan terlebih dahulu beberapa tahun sebelumnya meliputi rekaan pada gril, bonet dengan saluran udara, lampu utama dan juga bampar.
Dengan dimensi ukuran panjang 4,630 mm, lebar 1,865 mm, tinggi 1,385 mm dan jarak titik roda 2,820 mm ianya memang sebuah sport coupe dua pintu dengan saiz yang cukup sempurna untuk berada di sebelah model coupe di pasaran Amerika yang lain.
Trenkuasa untuk Hyundai Genesis Coupe ini juga turut menerima penambahbaikan yang ketara termasuklah penggunaan enjin 3.8 liter Lambda DOHC V6. Penggunaan enjin yang lebih berkuasa ini berupaya memberikan kuasa maksimum 348 HP dan tork 400 Nm.
Enjin ini menggunakan Dual CVVT (Dual Continuously Variable Valve Timing) yang berfungsi dengan yang membantu silinder bernafas dengan paling cekap pada RPM rendah dan tinggi. Gabungan suntikan langsung bertekanan tinggi, bermeter tepat dengan pernafasan silinder yang cekap menghasilkan tindak balas pendikit yang luar biasa dan pecutan luar talian ditambah dengan kecekapan bahan api yang luar biasa untuk enjin yang bersaiz besar ini.

Enjin V6 menggunakan blok aloi dan kepala silinder untuk berat yang lebih ringan dan kecekapan haba serta mempunyai rantai pemasaan yang tahan lama dan senyap tanpa memerlukan penyelenggaraan berjadual.
Pilihan enjin 2.0 liter dengan pengecas turbo turut ditawarkan kepada pembeli dengan keupayaan menghasilkan kuasa maksimum 274 HP.
Disebabkan ianya merupakan model pacuan roda belakang, Hyundai Genesis Coupe ini turut pernah beraksi dalam Formula Drift Professional Championship. Malah ia juga pernah beraksi dalam United States Touring Car Championship dan muncul juara pada tahun 2014.
Dan ketika Hyundai memutuskan untuk melancarkan jenama Genesis Motor sebagai sub-jenama mewah dari Korea Selatan, mereka memutuskan terus mengekalkan penggunaan nama Hyundai Genesis Coupe ini sebelum ianya ditamatkan produksi pada tahun 2016.

