
MODENAS TEMBUSI PASARAN FILIPINA DENGAN BRUSKY 125
Baru-baru ini MODENAS telah pun merasmikan penjenamaan semula jenama itu untuk pasaran tempatan dan antarabangsa.
Objektif utama penjenamaan semula itu termasuk memperkenalkan logo baharu adalah untuk membawa jenama itu ke peringkat global. Antara pasaran yang dimaksudkan adalah Filipina.

Memetik laporan rakan media PanduLaju, MODENAS telah pun menembusi pasaran Filipina menerusi Brusky 125 yang dijual menerusi Kawasaki Motors Philippines (Kawasaki Filipina).
Untuk rekod, Brusky 125 merupakan skuter kompak yang dikenali sebagai Karisma 125 di pasaran Malaysia.
Bagaimanapun, skuter tersebut dijenamakan semula untuk pasaran negara itu agar selari dengan cita rasa pengguna dua roda di Filipina. Namun begitu, masih jelas kelihatan jenama MODENAS di beberapa panel badan bersama-sama lencana Kawasaki.

Bagi pasaran Filipina, Brusky 125 hadir dengan tiga warna pilihan sama seperti yang ditawarkan di Malaysia termasuk Mystic Red, Duchess Gold dan Aqua Blue. Tinjauan di laman web rasmi Kawasaki Filipina mendapati Brusky 125 dijual dengan harga PHP75,000 (RM5.7k).
Selain itu, tiada perubahan dari segi spesifikasi dengan Brusky 125 masih lagi dipac enjin satu silinder 125cc SOHC dengan suntikan bahan api yang menjana 9.3hp dan 10Nm.