BuletinPandu Uji

CR-V e:HEV “E”, VARIAN JARANG ORANG NAK CERITA

Kalau bercakap tentang SUV segmen C dengan sistem hibrid, ramai penulis yang akan terus melakukan rebiu pada varian tertinggi. Samaada perkara itu disengajakan atau pengeluar tidak menyediakan varian yang rendah untuk dipandu uji.

Ini menyebabkan banyak varian yang lebih rendah namun menawarkan nilai yang bagus kepada pengguna tidak berjaya sampai kepada mereka. Sebagai contohnya ialah Honda CR-V e:HEV E yang menawarkan nilai cukup menarik tetapi jarang menjadi bualan.

Dengan harga sekitar RM178,000 ketika diperkenalkan, ia hanya sedikit lebih mahal berbanding varian 1.5 E Turbo yang pernah dijual pada sekitar RM170,000, tetapi hadir dengan teknologi hibrid yang lebih moden, lebih jimat bahan api dan pengalaman pemanduan yang lebih unik dengan sistem hibrid

Dari segi penampilan, Honda CR-V e:HEV E sebenarnya kelihatan hampir sama dengan varian RS yang jauh lebih mahal. Jika kedua-dua model diparkir bersebelahan, ramai pembaca mungkin sukar membezakan kedua-duanya.

Perbezaan utama hanyalah beberapa kemasan kosmetik seperti roof rail berwarna hitam, cermin sisi dan pemegang pintu hitam serta lencana RS pada model paling tinggi. Itu sahaja perbezaan antara RS dengan varian E dan 90% baki rekaan antara kedua dua model adalah sama

Honda CR-V e:HEV E datang dengan panjang 4,691 mm, lebar 1,886 mm dan jarak roda 2,701 mm yang pada pandangan penulis menghasilkan rekaan CR-V yang jauh lebih baik berbanding dengan generasi sebelumnya.

Antara elementary yang menarik perhatian penulis ialah hud enjin direka dengan panjang dan rendah, menyebabkan CR-V ini nampak lebih sporti. Manakala rekaan bahagian belakang pula persis rekaan XC-60 menjadikan keseluruhan rekaan luar ini seimbang dan eksklusif.

CR-V generasi ini dibina menggunakan platform Honda Architecture yang turut menjadi asas kepada Honda Civic. Oleh yang demikian, karakter pemanduannya lebih terasa seperti memandu sebuah kereta sedan berbanding SUV tradisional.

Sistem suspensinya menggunakan konfigurasi MacPherson Strut di hadapan dan sistem Multi-Link di roda belakang sama seperti Honda Civic. Namun talaan pelapik getah, kadar kekerasan spring, penyerap hentak serta anti-roll bar adalah berbeza bagi disesuaikan dengan berat dan karakter SUV hibrid ini.

Di bawah bonet pula terdapat enjin 2.0 liter Atkinson Cycle yang menghasilkan 148 PS dan 190 Nm, dipadankan dengan motor elektrik berkuasa 184 PS serta 335 Nm. Pada kebanyakan masa CR-V ini akan dipacu dengan menggunakan motor elektrik

Tetapi pada kelajuan tinggi, enjin akan beroperasi bersama-sama motor elektrik menerusi sambungan klac. Honda memberikan penggunaan bahan api rasmi sekitar 20 km/l, sekali gus membolehkan jarak perjalanan mencecah sehingga kira-kira 1,140 km dengan satu tangki penuh minyak.

Bagi rekaan dalaman kabin, Honda memberikan beberapa kemasan baru yang nampak lebih muda pada papan pemuka. Jika dibandingkan dengan, varian AWD yang banyak menggunakan lebih banyak elemen kayu, varian e:HEV E tampil dengan gabungan plastik berkilat yang masih memberikan suasana moden.

Walaupun dikritik, penulis rasakan saiz skrin infotainmen sebesar 9 inci sudah mencukupi. CRV juga diberikan paparan meter digital 7 inci, paddle shifter untuk kawalan brek regeneratif, penyaman udara 2 zon, pengecas telefon tanpa wayar, 2 port USB di hadapan, sistem Google Built-in, Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar, tempat duduk hadapan larasan kuasa serta 4 pilihan mod pemanduan.

Namun pada hemat penulis tiada peningkatan ketara untuk ruang belakang. CR-V masih lagi menyediakan ruang kaki yang luas, kusyen yang selesa, dua port USB, corong pendingin hawa sendiri serta poket pada belakang tempat duduk hadapan.

Tempat duduk belakang boleh dilaraskan kepada lapan kedudukan dengan sudut sandaran sehingga 23 darjah bagi memberikan keselesaan ketika perjalanan jauh. Ruang kargo pula lebih fleksibel menerusi tempat duduk belakang yang boleh dilipat dalam nisbah 60:40 yang akan membesarkan ruang kargo daripada 589 liter menjadi 1072 liter

Di atas jalan raya, Honda CR-V e:HEV E memberikan prestasi yang cukup meyakinkan. Pecutan 0 hingga 100 km/j boleh dicapai dalam sekitar 8.5 saat sebelum mencapai kelajuan maksimum 190 km/j. Berbeza dengan varian AWD turbo, varian e:HEV lebih meyakinkan ketika memotong kenderaan perlahan

Dari segi penggunaan bahan api pula, CR-V masih menawarkan penggunaan petrol sekitar 18 km/l iaitu angka yang hampir sama dengan angka rasmi Honda. Apa yang paling menyerlah ialah tahap kehalusan sistem hibridnya.

Peralihan antara enjin dan motor elektrik berlaku dengan begitu lancar sehingga hampir tidak disedari, sekaligus memberikan pengalaman pemanduan yang lebih premium berbanding kebanyakan pesaing.

Pada kebanyakan masa penulis tidak perasan pun bila enjin beroperasi, melainkan ketika pedal ditekan rapat dalam mode Sport dengan halaju yang menyebabkan lampu AES menyala. Satu lagi ciri yang menarik ialah penggunaan paddle shifter yang digunakan untuk mengawal tahap kekuatan brek regeneratif.

Sistem ini berfungsi dengan sangat baik dan memberikan rasa membrek seakan-akan “engine braking” pada kereta dengan gear automatik atau manual. Ini menjadikan proses memperlahankan kenderaan terasa lebih lancar tanpa kejutan yang biasa ditemui pada sesetengah model hibrid.

Apatah lagi proses membrek dengan pedal turut beroperasi dengan lancar dan baik. Kedudukan pedal minyak dan brek juga direka dengan baik, memudahkan penulis mengalihkan kaki dari dari pedal minyak ke pedal brek dengan senang menjadikan kawalan CR-V ini jauh lebih baik dari SUV buatan China

Dari sudut pengendalian pula, sterengnya terasa tepat dan memberikan keyakinan kepada pemandu. Walaupun hud depan yang panjang, kedudukan tayar lebih mudah diagak terutama dari kedudukan pemandun.

Gabungan sistem suspensi, talaan stering dan respon cesi menjadikan tahap pengendalian CR-V juga boleh dianggap antara yang terbaik dalam kelas SUV hibrid. Bahagian belakang kenderaan turut memberikan tindak balas yang cepat ketika mengambil selekoh, menjadikan keseluruhan SUV ini terasa lebih lincah daripada saiznya.

Berbeza dengan Honda Civic yang datang dengan rekaan sedan yang lebih rendah dan kusyen lebih keras, CR-V datang dengan kusyen yang lebih lembut dan selesa. Jika anda memandu CR-V untuk perjalanan jarak jauh, anda mungkin rasakan yang anda sedang memandu sebuah kenderaan Grand Tour. Besar, selesa dan masih berkuasa.

Walau bagaimanapun, aspek keselesaan masih mempunyai ruang untuk dipertingkatkan. Suspensi belakang terasa sedikit kurang kemas ketika melalui jalan tidak rata atau melalui bonggol terutama ketika anda membrek, seolah-olah masih bergelut mengawal tambahan berat daripada pek bateri hibrid.

Ia bukanlah terasa sangat sehingga mengganggu pemanduan melainkan anda betul-betul mencari sendiri kelemahan SUV ini. Tetapi bagi pemandu yang biasa bertukar tukar kenderaan, penulis perasan isu ini setelah memandu CR-V AWD.

Dari aspek keselamatan, Honda CR-V e:HEV E hadir dengan pakej Honda SENSING yang lengkap bersama Blind Spot Information (BSI) dan Rear Cross Traffic Alert (RCTA) serta ciri pemanduan autonomi tahap 2.

Ciri ini apabila digabungkan dengan sistem Lane Keep Assist mampu mengurangkan beban pemanduan dan mengurangkan keletihan untuk perjalanan jarak jauh. Namun satu ciri yang dirasakan agak rugi untuk tiada pada harga ini ialah kamera pandangan sekeliling 360 darjah.

Walaupun diberikan ciri kamera undur belakang, ketiadaan sistem kamnera 360 darjah sedikit sebanyak menyukarkan proses meletakkan kenderaan di parkir hadapan atau parkir sisi kerana pemandu perlu lebih bergantung kepada sensor parkir semata-mata.

Tapi secara jujurnya, jika dibandingkan dengan Honda Civic e:HEV, penulis rasakan dengan tambahan harga sekitar RM 10,300 sahaja CR-V menawarkan lebih nilai pada wang yang dibelanjakan. Jika Civic e:HEV sesuai untuk golongan muda 30an, CR-V lebih menarik untuk lelaki 40 yang sudah berkeluarga dan memiliki anak

Kusyen lebih lembut untuk keselesaan pemanduan jarak jauh, ruang kargo lebih besar, kawalan pemanduan yang jitu, pengendalian yang tepat dan ruang belakang lebih selesa menjadikan CR-V ini masih ada kelebihan berbanding dengan Civic mahupun SUV buatan China.

Google ads
Back to top button