
ZEEKR 7GT DILANCARKAN DI CHINA – TAWAR JARAK GERAK 825KM, HARGA BERMULA RM132K
ZEEKR, jenama kenderaan elektrik premium di bawah Geely, secara rasmi telah melancarkan model 7GT di pasaran China, sebuah varian GT shooting brake.
Hanya empat bulan selepas imej awalnya diperlihatkan, kini model itu bersedia untuk dihantar kepada pelanggan tempatan dalam tempoh kurang daripada seminggu.
Model 7GT, yang turut dikenali sebagai “Grand Tour”, tampil sebagai versi hatchback sporty bagi sedan elektrik 007.
Ia direka untuk menyeimbangkan kuasa, praktikaliti, dan kemewahan, serta memperkenalkan teknologi baharu dalam reka bentuk minimalis “Hidden Energy”.

Dari sudut dimensi, ZEEKR 7GT berukuran 4,864mm panjang, 1,900mm lebar, 1,460mm tinggi, dengan jarak roda 2,925mm. Kapasiti ruang but pula mencecah 645 liter, atau sehingga 1,737 liter dengan tempat duduk belakang dilipat rata – sesuai untuk gaya hidup aktif serta perjalanan jauh.
Selain prestasi tinggi, ZEEKR turut memberi penekanan kepada aspek keselesaan.
Bahagian dalaman menampilkan balutan kulit NAPPA penuh pada semua tempat duduk yang dilengkapi fungsi pemanas, penyejukan dan urutan setaraf spa. Sistem infotainmennya dipacu oleh cip Qualcomm 8295, menawarkan pengalaman digital yang pantas dan lancar.
Dibina menggunakan platform 800V SEA daripada Geely, ZEEKR 7GT hadir dalam dua versi utama. Varian asas dilengkapi pek bateri LFP 75kWh yang mampu memberikan jarak sehingga 650km mengikut standard CLTC, dan boleh dicas dari 10 hingga 80 peratus dalam masa hanya 10.5 minit menerusi pengecas pantas DC.

Sementara itu, varian Long-Range menggunakan bateri NMC 100kWh dengan kemampuan jarak sehingga 825km, menjadikannya antara EV dengan jarak paling tinggi dalam kelasnya.
Dari segi prestasi, dua motor elektrik dengan teknologi silikon karbida membolehkan 7GT memecut dari 0 ke 100 km/j dalam hanya 2.95 saat, berdasarkan simulasi rolling start.
Selain itu, model ini turut dilengkapi teknologi bantuan pemanduan pintar ADAS termaju melalui sistem G-Pilot H7, yang disokong oleh dua cip Nvidia Orin-X, sensor lidar, kamera definisi tinggi, dan radar gelombang milimeter.
Untuk pasaran China, pelanggan boleh memilih daripada sembilan warna luaran dan empat pilihan kemasan dalaman. Harga permulaan ditetapkan pada RMB 202,900 (sekitar RM132,000), menjadikannya satu pilihan menarik dalam segmen EV premium.







