
HYUNDAI SANTA CRUZ 2025 – TRAK PIKAP YANG SEMAKIN KACAK DENGAN SISTEM INFOHIBURAN YANG BAHARU
Hyundai telah melancarkan model yang dikemaskini, Hyundai Santa Cruz 2025, sebuah Sport Adventure Vehicle yang diperkenalkan sewaktu New York International Auto Show 2024. Ianya menampilkan rekaan luaran dan dalaman yang direka semula bersama dengan kehadiran sistem infohiburan yang baharu dan sistem bantuan pemandu lanjutan tambahan.
Untuk rekod, pembangunan model yang kelihatan macam sebuah tipikal pikap biasa sebenarnya tidaklah dibuat berdasarkan casis ladder frame seperti Toyota Hilux mahu pun Ford Ranger tetapi Hyundai Santa Cruz ini dibina berdasarkan casis monocoque, yang dibangunkan khusus untuk model kereta sedan / crossover. Atau lebih tepat lagi, Hyundai Santa Cruz ini sebenarnya merupakan saudara kembar kepada model SUV Tucson.

Maka tidak hairanlah sekiranya Hyundai Santa Cruz ini tidak kelihatan terlalu katang seumpama sebuah Hailak.
Bagi memastikan Hyundai Santa Cruz ini kekal relevan dalam pasaran sementelah ianya diperkenalkan pada tahun 2021 yang lalu maka sewajarnya versi kemaskini diperlukan. Paparan skrin melengkung panoramik yang baharu bersaiz 12.3 inci telah diposisikan di tengah konsol bagi menempatkan kluster maklumat pemandu dan juga Audio-Video Navigation (AVN) untuk pengalaman digital yang lebih padu.

Bahagian konsol tengah juga telah dikemaskini bagi memastikan ianya lebih ergonomik dengan perkakasan suis fizikal yang sering digunakan. Juga terdapat ruang penyimpanan tambahan di bahagian atas kotak penyimpanan.
Hyundai Santa Cruz menawarkan dua trenkuasa yang berkuasa, fleksibel dan cekap bahan bakar. Secara standard enjin empat silinder suntikan terus 2.5L dengan 191 kuasa kuda dan 181 lb.-ft tork. Enjin ini digabungkan dengan transmisi automatik lapan kelajuan untuk pecutan pantas dan kecekapan bahan bakar yang luar biasa.

Model kemaskini ini juga menawarkan enjin dengan pengecas turbo suntikan terus 2.5L dengan 281 kuasa kuda dan 311 lb.-ft. tork yang digandingkan bersama transmisi automatik lapan kelajuan dual-clutch automatic transmission (DCT). Turut disertakan adalah paddle shifters untuk penukaran gear secara manual yang sporty. Dan untuk versi 2025 nanti, mod tunda turut telah diperkenalkan untuk enjin yang menggunakan pendesak turbo ini dengan keupayaan menarik treler di bekang sehingga 5,000 lbs.
Untuk lebih kesedapan pemanduan, Hyundai Santa Cruz ini turut dilengkapi dengan sistem pacuan semua roda HTRAC untuk lebih keyakinan ketika menempuh apa juga bentuk halangan permukaan yang dihadapi.
Santa Cruz 2025, yang direka di California ini dijangka tiba di pengedar Hyundai pada musim panas 2024 kelak.
BACA : HYUNDAI SANTA CRUZ 2023 MUNCUL DENGAN PAKEJ NEW NIGHT
BACA : HYUNDAI SANTA CRUZ. BILA TUCSON DISUMPAH JADI PIKAP
.



