
HYUNDAI SANTA CRUZ. BILA TUCSON DISUMPAH JADI PIKAP
Kalau kereta pikap di sini kita akan bayangkan Toyota Hilux, Nissan Navara dan juga Ford Ranger yang dihasilkan dengan menggunakan cesi ladder frame, enjin turbodisel dan juga sistem pacuan 4 roda. Tapi bila Hyundai memperkenalkan model baru Santa Cruz, ia kembar kepada kepada model crossover Tucson
Cesi utama Santa Cruz dibangunkan dengan menggunakan platform cesi monocoque sama seperti kereta sedan biasa atau crossover namun dengan ciri bed kargo tambahan di ruang belakang sepanjang 1323mm dan lebih pendek berbanding dengan kenderaan 4×4 konvensional biasa.

Jadi Hyundai lebih suka model Santa Cruz ini digelar sebagai Sport Adventure Vehicle berbanding dengan nama pikap. Kenderaan ini akan dikuasakan dengan enjin 2500cc 4 silinder NA yang menghasilka sekitar 190 kuasa kuda dengan pilihan transmisi 8 kelajuan DCT
Buat masa ini Hyundai akan menawarkan varian pacuan depan sahaja ataupun dengan pilihan pacuan semua roda. Model yang lebih berkuasa akan ditawarkan dengan pilihan enjin 2500cc turbo yang menghasilkan 275 kuasa kuda sudah cukup untuk menjadikan SAV ini lincah

Hyundai Santa Cruz ini dihasilkan di studio rekaan Hyundai di California menampilkan rekaan depan yang lebih agresif berbanding Tucson manakala rekaan sisi menggunakan penggayaan yang hampir sama dengan Hyundai Elantra. Antara elemen yang menarik perhatian ialah penggunaan lampu LED terbina dalam dengan jeriji depan
Dari segi saiz, jarak antara roda bagi Santa Cruz sebenarnya lebih panjang daripada Tucson iaitu pada 3005mm. Panjang keseluruhan Santa Cruz ialah 4971mm manakala lebarnya pula ialah 1950mm. Bagi memastikan tingginya cukup untuk menempuhi laluan lasak ia akan dipadankan dengan 2 pilihan rim aloi iaitu 18 inci atau 20 inci.

Rekaan sistem suspensi juga sama dengan Hyundai Tucson dengan roda depan menggunakan sistem Topang McPherson dan roda belakang menggunakan sistem Multilink. Dalam kategori ini, rekaan sebegini sebenarnya mirip dengan Honda Ridgeline yang menggunakan cesi monocoque dan suspensi gantungan bebas di bahagian belakang
Dalam aspek keupayaan pemanduan lasak, enjin 2500cc turbo yang menghasilkan 275 kuasa kuda dan 420Nm tork berupaya menunda beban sehingga seberat 2268kg. Antara ciri-ciri lain yang menarik ialah ruang bed terbuka belakang disertakan dengan penutup, ruang kargo tersebunyi di bawah bed, ruang simpanan di bawah kusyen belakang serta 3 mode pemanduan.
