Buletin

HYUNDAI SANTA FE FACELIFT 2024 DILANCARKAN: HARGA BERMULA RM185K – RM205K

Hyundai-Sime Darby Motors (HSDM) hari ini secara rasmi melancarkan Hyundai Santa Fe FL versi CKD dan kini dibuka untuk tempahan di seluruh Malaysia.

Tersedia dalam dua varian iaitu 2.2L diesel dan 1.6L hibrid, Santa Fe generasi keempat menetapkan piawaian tinggi bagi SUV keluarga dengan gabungan kuasa, kecekapan, serta reka bentuk yang canggih.

Santa Fe tampil dengan reka bentuk yang berani dan moden, menonjolkan gril lebar dengan corak geometri ikonik Hyundai yang mengintegrasikan Lampu Siang LED berbentuk T.

Pengayaan SUV ini diserlahkan lagi melalui gril lebar – menggabungkan lampu utama sementara bahagian belakangnya diperkemas dengan bar yang menghubungkan lampu belakang.

Hyundai Santa Fe facelift 2024 ditawarkan dalam empat pilihan warna;

  • Phantom Black
  • Creamy White Pearl
  • Magnetic Grey
  • Stormy Sea

Di dalam kabin, ia dilengkapi skrin sentuh 10.25-inci dengan peta, menyokong ketersambungan tanpa wayar kepada Apple CarPlay/Android Auto serta set lengkap ciri hiburan dalam kereta, navigasi berpandukan suara berasaskan satelit, konsol tengah yang tinggi dan dihiasi dengan bahan sentuhan lembut.

Perincian lain termasuklah , sistem audio enam-pembesar suara, kawalan iklim automatik dua zon, pemilih transmisi Shift-by-wire dan pemilih Mod Terrain di konsol tengah memudahkan pemandu menukar mod pemanduan dengan cepat serta Smart Power Tailgate.

Kelebihan pada varian Hybrid Max ialah mendapat beberapa ciri tambahan seperti pemanas atau pengudaraan tempat duduk pemandu dan penumpang hadapan, selain, disertakan ciri memori tempat duduk pemandu.

Keselamatan kekal menjadi keutamaan dengan pakej keselamatan Hyundai SmartSense, yang termasuk ciri-ciri seperti; Forward Collision-Avoidance Assist, Lane Keeping Assist, Smart Cruise Control dengan fungsi Stop & Go.

Varian 1.6L Hybrid Max dan 2.2L Diesel Max turut dilengkapi dengan Blind Spot View Monitor serta Surround View Monitor untuk meningkatkan lagi keselamatan.

Secara mekanikal, varian hibrid dipacu oleh enjin 1.6-liter T-GDI, menghasilkan 177hp dan 265Nm serta digandingkan dengan sebuah motor elektrik 44.2kW, memberikan kuasa keseluruhan sebanyak 226hp dan tork 350Nm.

Nadi berkenaan dipadankan dengan transmisi automatik enam kelajuan.

Sementara, varian Diesel pula dikuasakan oleh enjin 2.2-liter CRDi, menjana 199hp dan 440Nm.

Untuk harga, pembeli awal untuk 100 tempahan pertama boleh menikmati diskaun sebanyak RM10,000, dengan harga bermula RM185,888 untuk 1.6L Turbo Hybrid Plus, RM205,888 untuk 1.6L Turbo Hybrid Max, dan RM199,888 untuk 2.2L Turbo Diesel Max (harga atas jalan tanpa insurans).

Setiap pembelian juga disokong dengan jaminan komprehensif 5 tahun/300,000 km, menjanjikan ketenangan jangka panjang kepada pemilik.

Google ads
"
"
Back to top button