HYUNDAI SANTA FE TIBA DI PASARAN INDONESIA – TAWAR DUA VARIAN, HARGA BELUM ADA
Hyundai Motors Indonesia (HMDI) akan melancarkan SUV terbaru mereka, Hyundai Santa Fe 2024, yang dilengkapi enjin hibrid dan pembakaran dalaman (ICE).
Model ini juga menandakan perkenalan pertama Hyundai dalam segmen kenderaan hibrid di pasaran Indonesia.
Santa Fe, yang sering muncul dalam siri drama Korea, kini tampil dengan reka bentuk baharu. Lampu hadapan LED berbentuk huruf H menjadi ciri ikonik, sekaligus memberikan imej berani dan elegan pada SUV ini.
Selain itu, Hyundai turut memperkenalkan ruang penyimpanan tambahan melalui bi-directional multi-console yang boleh diakses dari barisan kedua, bersama dengan beberapa dulang boleh tanggal dan boleh digeser untuk keselesaan penumpang.
Apabila memasuki kabin, pengguna disambut dengan pencahayaan hidden mood light berbentuk huruf H yang serupa dengan rekaan luar.
Pengalaman pemanduan diperkaya dengan paparan lengkung panoramik, merangkumi dua skrin 12.3-inci; satu untuk infotainment dan satu lagi sebagai kluster digital.
Santa Fe akan hadir dalam dua varian, iaitu Hybrid Electric Vehicle (HEV) yang dilengkapi enjin turbo hibrid 1.6 T-GDI HEV, dan varian enjin petrol 2.5L GDI.
Dari aspek keselamatan, model ini disokong oleh teknologi Hyundai Smartsense, yang menggunakan kamera dan sensor untuk meningkatkan keselamatan pemanduan serta mengurangkan risiko kemalangan.
Ketua Pegawai Operasi HMDI, Fransiscus Soerjopranoto, sebelum ini menyatakan bahawa pelancaran Santa Fe 2024 ini adalah langkah penting dalam membawa teknologi hibrid ke pasaran Indonesia.
“All-New Santa Fe akan dilancarkan secara rasmi pada Oktober 2024 untuk memenuhi keperluan dan keutamaan pelanggan,” kata beliau pada bulan September lalu.
Dengan pelancaran ini, Hyundai dijangka memperkukuh kedudukan mereka dalam industri automotif Indonesia, terutamanya dalam segmen kenderaan mesra alam.