Artikel PilihanPandu Uji

PANDU UJI HYUNDAI SANTA FE 2019

Satu perkara yang pasti tentang kereta-kereta dari benua Korea Selatan, ia kini tidak lagi datang degan rekabentuk pakcik makcik yang membosankan. Dengan kemasukan sejumlah besar tenaga kepakaran dari firma automotif Eropah, kereta-kereta Hyundai dan Kia sudah berubah secara total.

Buktinya, Santa Fe baharu keluaran Hyundai ini memang kelihatan jauh lebih anggun berbanding sebelumnya. Bahkan ia juga tidak kalah dari segin penampilan jika diletakkan bersebelahan  dengan SUV keluaran Jepun ataupun daripada Eropah.

Santa Fe baharu ini sekali imbas pun kita sudah tahu yang ianya lebih kepada kenderaan rekreasi sekeluarga dengan penambahan tempat duduk baris ketiga. Selain daripada itu ia juga cukup selesa, luas dan mempunyai segala ciri keselamatan yang diperlukan oleh bakal pembeli.

Tapi disebabkan ia sebuah SUV sudah tentu ramai yang tertanya-tanya dengan kemampuan mengharung laluan off-road dan sistem pengendaliannya.

Untuk menjawab pertanyaan tersebut,pihak Hyundai telah mengadakan satu sesi pandu uji untuk pihak media di Kenaboi Forest Reserve siap dengan aktiviti off-road.

Ni Bukannya ala Camel Trophy tetapi memadai untuk menguji SUV yang kebanyakan hayatnya akan dihabiskan di dalam kesibukan bandar. Lagi satu, Kenaboi Forest Reserve ni dekat Negeri Sembilan bukannya di Thailand.

Dua varian disediakan untuk sesi pandu uji ini, Santa Fe 2.4 Mpi berkuasa petrol 2WD dan 2.2 CRDi AWD disel. Santa Fe versi petrol dilengkapi dengan enjin 2.4L Theta II Mpi yang mampu menghasilkan 172PS kuasa pada 6,000rpm dan tork maksima 225Nm pada 4,000rpm. Ia kemudiannya digabungkan dengan kotak gear automatik enam-kelajuan yang cukup responsif.

Untuk kegunaan di jalan-jalan luar bandar varian yang lebih sesuai kami cadangkan Santa Fe R2.2L CRDi dengan enjin turbodisel yang mampu menghasilkan 193PS kuasa pada 3,800rpm dan kemewahan tork maksiam 440Nm dari 1,750-2,750rpm.  Ya. tork dia 440Nm tuan tuan!

Kuasa enjin itu kemudiannya dipadankan dengan kotak gear lapan-kelajuan automatik dan sistem pacuan-semua-roda (AWD) Hyundai yang menghantar sekitar 35-50 peratus kuasa ke tayar belakang.

Sewaktu sesi pandu uji dengan selitan aksi off-road ringan, Santa Fe R 2.2 CRDi membuktikan yang ia mempunyai kuasa yang lebih daripada mencukupi untuk aksi seumpamanya.

Ia bergerak selincah sebuah kereta dan mempunyai tahap keselesaan kabin dalaman yang cukup baik dengan kemasan kulit dan rona lembut. Malah tahap NVH memang cukup baik dan memastikan anda berada dalam keadaan selesa sepanjang perjalanan. Yang ni kami boleh katakan, tahap kesenyapannya lebih baik dari kebanhyakan SUV jenama Jepun.

Ia juga kini mempunyai rekaan konsol tengah yang baru lengkap dengan skrin paparan 7 inci, kawalan penyaman udara dan beberapa punca kuasa USB yang disusun atur dengan kemas.

Apabila berada pada mod pemanduan Sport, SUV berkuasa ini akan menyalurkan 50 peratus kuasa ke tayar belakang untuk memberikan cengkaman yang lebih sewaktu mengambil selekoh. Sistem AWD memang sangat membantu dalam situasi offroad dan juga sewaktu melalui jalan pendalaman yang banyak berselekoh.

Laluan yang dipilih menuju ke Kenaboi Forest Reserve juga memberi peluang kepada kami untuk menguji kawalan SUV ini dan ia memang lebih dari mampu untuk menangani jalan berselekoh di sini.

Satu perkara yang tak boleh dielakkan ialah apabila ia hadir sebagai varian berenjin disel sudah tentu ia mempunyai bunyi berdetar yang sedikit kuat berbanding enjin petrol.

Tapi bila berputar semakin laju dan pergerakan kereta semakin pantas, bunyi tersebut sudah hilang sama sekali. Bila dah bergerak malar pun, bunyi tipikal enjin disel memang hampir tak kedengaran langsung

Sebaik memasuki laluan offroad yang berlumpur dan berair, sistem AWD yang ada pada Santa Fe R 2.2 CRDi ini segera bertindak bijak menghantar kuasa di bahagian masa diperlukan untuk memberikan lebih cengkaman. Dengan kata lain jika anda nak balik kampung dan memasuki kawasan ladang ataupun dusun, Santa Fey ini lebih dari mampu untuk melakukannya.

Santa Fe Petrol

OK macam mana pula dengan varian petrol? Walaupun varian petrol ini tidak mempunyai sistem AWD dan merupakan sebuah SUV pacuan hadapan, ia juga turut berkemampuan mengharungi laluan yang hampir sama dengan varian disel.

Ia turut dilengkapi dengan sistem Hill-start Assist dan Downhill Brake Control. Kedua-duanya berfungsi membantu pemandu dalam situasi naik dan turun bukit dengan lebih selamat.

Varian petrol adalah lebih senyap berbanding disel tetapi ia kekurangan sedikit ‘ummph’ berbanding saudara diselnya. Tapi ini tidak bermaksud ia sebuah SUV yang lembap. Kawalannya juga masih sangat baik walaupun tidak dilengkapi dengan sistem AWD.

Jika anda sedang mencari-cari sebuah SUV versatil yang lengkap dengan segala pakej keselamatan dan ciri-ciri menarik, Santa Fe baharu ini memang boleh diberikan pertimbangan. Ia mampu membawa anda dan keluarga anda ke mana sahaja dengan selamat dan selesa.          

Google ads
Back to top button