Buletin

BAU KEDAI TAK SEMPAT HILANG, LAMBORGHINI REVUELTO MILIK ‘INFLUENCER’ TERBAKAR

Kejadian malang menimpa seorang influencer apabila Lamborghini Revuelto miliknya terbakar hanya selepas 108 batu (174 km) digunakan.

Revuelto, supercar terbaru keluaran Lamborghini yang dikenali dengan prestasi luar biasa dan reka bentuk agresif, mengalami nasib malang ini hanya seminggu selepas pemiliknya, Ethan Duran, mengambil kunci kereta tersebut.

Duran, yang merupakan pengasas Corsa Auto Group – sebuah syarikat penyewaan kereta di New York, Los Angeles, Miami, dan Boston – memesan Lamborghini Revuelto ini pada September tahun lalu.

Namun, kegembiraan memiliki supercar idaman ini tidak bertahan lama apabila api secara tiba-tiba mula keluar dari bahagian belakang kereta tersebut semasa dia memandu di lebuhraya New York City.

Kebakaran ini berlaku begitu cepat sehingga pasukan bomba yang tiba di lokasi gagal memadamkan api sebelum keseluruhan kereta musnah.

Duran sempat merakamkan detik-detik kebakaran, termasuk beberapa letupan kecil yang berlaku, sambil menyifatkan situasi itu sebagai “gila” ketika melihat kereta barunya menjadi abu.

Walaupun punca sebenar kebakaran masih belum jelas, ini merupakan kes pertama Revuelto dilaporkan terbakar.

Model terdahulunya, Lamborghini Aventador, pernah ditarik semula pada awal tahun 2017 selepas ditemui masalah sistem emisi dan membawa kepada risiko kebakaran.

Walaupun tiada petunjuk bahawa Revuelto mudah terbakar seperti Aventador, insiden ini mungkin menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pemiliknya, memandangkan sebuah kereta baru yang hanya digunakan sejauh 108 batu tidak sepatutnya terbakar dengan begitu mudah.

Kejadian ini memberi amaran awal kepada Lamborghini dan pemilik supercar berprestasi tinggi untuk lebih berhati-hati dan memantau sebarang kemungkinan masalah teknikal yang boleh mengancam keselamatan.

Google ads
Back to top button