Pandu Uji

Hyundai Veloster nyata mempersona

SHARE
Toyo Tyre – Mrec – Desktop

Coupe tiga pintu ini mempunyai reka bentuk yang tidak konvensional. Ia juga hadir dengan senarai ciri yang tidak memerlukan anda membayar pada harga premium. 

Tagline “New Thinking. New Possibilities” sememangnya telah mengubah Hyundai menjadi satu pengeluar kenderaan yang disegani. Produk-produknya terbaharunya sentiasa tampil dengan imej dan teknologi yang membuatkan mana-masa pesaingnya rasa tercabar.

Hyundai tidak lagi dilihat sebagai jenama kereta murah dan membosankan. Persepsi pengguna terhadap jenama dari Korea Selatan juga sudah berubah dan kini menjadi alternatif kepada kenderaan buatan Jepun dan Eropah.

Toyo Tyre – Leaderboard – Desktop

Ia tidak lagi canggung untuk bersaing di pasaran-pasaran besar terutama Eropah dan Amerika Utara. Maka tidak hairanlah jika kebanyakan model-model pentingnya melakukan debut di sana, sebelum ia diperkenalkan di pasaran lain di seluruh dunia.

Pameran Auto Antarabangsa Amerika Utara (NAIAS 2011) menyaksikan bagaimana Hyundai mengejutkan industri automotif menerusi produknya yang tidak konvensional. Di sana, sebuah model coupe tiga pintu dipersembahkan kepada dunia buat kali pertama.

Dikenali sebagai Veloster, ia mengambil inspirasi model konsep asal yang dipertontonkan kepada umum pada Seoul Motor Show 2007. Veloster dibangun berasaskan kepada bahasa rekaan fluidic sculpture. Sebagai mana sedia maklum, fluidic sculpture memberi fokus terhadap garis tubuh, aerodinamik, selain reka bentuk yang dinamik dan dramatik.

Keunikan Veloster terletak pada konfigurasi tiga pintunya. Lebih menarik lagi, anda mungkin tidak akan perasan kewujudan pintu belakang itu kerana ia disorok pada tiang C demi mengekalkan reka bentuk coupe yang sporty.

Pintu itu memang praktikal dan memudahkan penumpang untuk keluar masuk ke ruang kabin. Perlu tahu bahawa pasukan jurutera Hyundai berusaha keras  untuk menghasilkan struktur yang sesuai untuk pemanduan sebelah kiri atau kanan.

Dalam erti kata lain, jika ia untuk pasaran Amerika Syarikat (pemanduan sebelah kiri) pintu belakang tersebut tetap berada di bahagian belakang tempat duduk penumpang, begitulah sebaliknya.

“Veloster membuktikan evolusi yang dialami oleh jenama Hyundai di pasaran Eropah. Model ini datang dalam satu pakej lengkap meliputi aspek kualiti, keselamatan dan kecekapan,” kata Naib Presiden Kanan dan Ketua Pegawai Operasi Hyundai Motor Europe, Allan Rushforth.

Veloster diperkenalkan ke pasaran tempatan oleh pengedar kenderaan Hyundai di Malaysia, Hyundai-Sime Darby Motors (HSDM) pada 30 November lalu.

“Veloster adalah konsep yang benar-benar inovatif. Ia menggabungkan reka bentuk sporty dengan praktikaliti dan kemudahan. Coupe ini menampilkan rekaan pintu 1+ 2 yang revolusionari, selain memiliki aspek aerodinamik yang berasaskan kepada konsep reka bentuk fluidic sculpture,” kata Pengarah Urusan HSDM, Lau Yit Mun.

HSDM berharap Veloster akan mendapat sambutan hangat di sini, sebagaimana respon yang diterimanya di seluruh dunia. Untuk makluman, sejak dilancarkan pada 2011, hampir 120,000 unit Veloster berjaya dijual. Ia juga memperoleh banyak pengiktirafan terutama di AS dan Kanada.

Di pasaran Eropah, Veloster dipasang dengan enjin petrol GDI yang mampu menghasilkan kuasa 140PS. Enjin itu bagaimanapun tidak pada Veloster di sini. Ia diganti oleh unit enjin Gamma MPI bersesaran 1.6 liter berkuasa 132PS dan tork maksimum 158Nm.

Enjin dengan sistem DVVT dan DOHC itu memiliki fungsi Mechanical Lash Adjuster (MLA). MLA berperanan mengurangkan geseran injap. Sekali gus membuatkan enjin lebih tahan lama, menjimatkan dan tidak bising.

Selaku model yang dilihat mampu meningkatkan imej Hyundai, Veloster didatangkan dengan teknologi terbaik. Antaranya ialah transmisi klac berkembar enam kelajuan automatik. Menjadi transmisi pertama seumpamanya dibina oleh Hyundai, ia didakwa lebih cekap dan ringan, factor penting dalam meningkatkan kecekapan penggunaan bahan api serta  merendahkan pengeluaran emisi.

Tidak mahu mengecewakan segelintir pemandu yang mahukan transmisi manual, HSDM ada menawarkan varian tersebut. Jadi, selepas ini jangan lagi merungut tiada varian manual untuk memenuhi selera pemanduan anda.

Di samping rekaan aerodinamik dan padanan enjin serta transmisi termaju Hyundai, pemanduan mantap Veloster disumbang oleh setup suspensinya. Sistem itu terdiri daripada topang MacPherson, pegas gegelung, penyerap hentak gad dan bar penstabil bersaiz 24 milimeter (mm) untuk roda hadapan.

Suspensi belakang pula menggunakan khidmat torsion beam V yang ringan (CTBA). Kolaborasi sistem suspensi itu menawarkan pengendalian yang meyakinkan dan mengurangkan olengan tubuh kenderaan.

Kalau berminat, Veloster hadir dalam tiga varian iaitu enjin Gamma 1.6 liter bertransmisi manual, 1.6 automatik dan Premium. Ia ditawarkan  pada harga bermula RM116,888 (di atas jalan), bergantung kepada varian yang dipilih.

Varian premium dibezakan menerusi bumbung panoramik, lampu utama jenis reflector dengan butiran LED, kamera mengundur, tempat duduk dibalut kulit  dan banyak lagi. Jika anda memilih varian Premium, ia juga hadir dengan rim aloi bersaiz 18 inci berwarna sama dengan warna badan kereta.

Ruang kokpit Veloster memang sporty. Ruang itu didominasi oleh tona hitam bersama rekaan papan pemuka dan konsol tengah yang futuristik. Butang penghidup enjin diletakkan di tengah-tengah konsol. Di atasnya, sistem audio dengan skrin sentuh dan butang kawalan pendingin hawa.

Percayalah, Veloster bukan coupe biasa. Ia bukti kesungguhan Hyundai untuk berdiri sama tinggi dengan pembuat kenderaan berpengaruh yang lain.

Tunggu laporan pandu uji Veloster di laman web ini tidak lama lagi!
[hr top]

Spesifikasi Hyundai Veloster
[hr_invisible]

Enjin: Gamma 1.6 D-CVVT

Kuasa maksimum: 132PS @ 6,300rpm

Tork maksimum: 158Nm @ 4,850rpm

Suspensi hadapan: Topang MacPherson

Suspensi belakang: Coupled Torsion Beam Axle

Sistem keselamatan: 2 beg udara, ABS, ESP, VSM dan HAC

Harga: RM116,888 (manual), RM121,888 (automatik), RM132,888 (Premium A/T)
[hr]

Gallery
[hr_invisible]


[hr]

Tags
Google ads

admin

mekanika.com.my / permotoran gaya baru untuk generasi baru.

Leave a Reply

Back to top button