Buletin

NIO EC7 – SUV COUPE PALING AERODINAMIK DALAM DUNIA

Syarikat pengeluar EV China, Nio baharu sahaja melancarkan sebuah SUV coupe berkuasa elektrik saiz pertengahan, Nio EC7 2023.

Secara asasnya, ia membawakan rekaan yang hampir sama dengan sebuah lagi SUV (EL7), dengan ukuran dimensi 4,968 mm, lebar 1,974 mm, tinggi 1,714 mm dengan jarak antara roda sepanjang 2,960 mm.

Ia dibezakan dengan rekaan bumbung yang lebih melandai ke belakang, dan sistem sayap belakang aktif yang menyumbang kepada kadar pekali seretan serendah 0.23 sahaja.

Dengan angka serendah itu, Nio EC7 menjadi SUV yang paling aerodinamik dalam dunia.

Dari segi kuasa, Nio EC7 didatangkan dengan motor elektrik berkembar berkuasa 644 hp dan 850 Nm.

Pecutan 0-100 km/j adalah sepantas 3.8 saat, sementara pek bateri pula boleh dipilih kapasitinya (75 kWh, 100 kWh atau 150 kWh) yang membenarkan jarak gerak bermula 490 km hingga 940 km mengikut data CLTC.

Antara ciri yang dimuatkan pada EC7 termasuklah bumbung kaca panorama besar dengan teknologi penebat haba dan bunyi dwi-lapisan, serta elektrokromik fleksibel yang membenarkan penembusan cahaya yang boleh dilaras untuk tujuan privasi.

Selain itu, ia juga turut didatangkan dengan sistem kawalan iklim tiga zon, sistem audio dengan 23 pembesar suara, serta fungsi pemanas pada kerusi baris kedua.

Harga jualan Nio EC7 bermula dari 488,000 yuan (RM311,605) untuk varian aras mula.

Google ads
Back to top button