HYUNDAI XCIENT FUEL CELL – INILAH RESPON HYUNDAI TERHADAP TESLA SEMI TRUCK
Keperluan terhadap kenderaan cekap tenaga memang semakin meningkat dan tidak terhad kepada kenderaan persendirian semata-mata. Bahkan sekarang pun semakin banyak lori-lori pengangkut bergerak di seluruh negara menjadikan dan keperluan terhadap kenderaan pengangkutan yang cekap tenaga memang sangat diperlukan. Hyundai merupakan pemain terbaru yang masuk menyertai pasaran yang memang akan menjadi lubuk duit satu hari nanti.
Hyundai kini memperkenalkan XCIENT Fuel Cell, sebuah trak tugas berat dengan sel bahan api pertama di dunia yang dikeluarkan secara besar-besaran. Ia dilengkapi sistem sel bahan api hidrogen 190-kW dengan aturan sel bahan api berkembar 95-kW setiap satu. Tujuh unit simpanan hidrogen berupaya menyimpan 71 paun hidrogen pada setiap kali perjalanan.
Semua trak ini mampu bergerak sejauh 400 kilometer dengan satu cas penuh dan proses isian kembali hanya mengambil masa sekitar 8 ke 20 minit. Belum sempat habis makan sebiji burger spesel dah penuh dah isi balik.
10 unit pertama telah dihantar ke Switzerland dan penghantaran seterusnya adalah dalam bulan September. Sejumlah 50 unit akan dihantar ke Switzerland pada tahun ini dan menjelang 2025, Hyundai berharap 1,600 unit trak ini akan berada di jalan-jalan raya seluruh dunia.
Jika dinilai dari rupa paras, rasanya Hyundai XCIENT Fuel Cell ni jauh lebih senonoh berbanding Tesla Semi Truck yang memang tak tahu la nak cakap apa. Memang elok sangat dah letak sebelah menyebelah dengan Cyber Truck tu.
Hyundai menegaskan yang sistem sel bahan api adalah paling ideal untuk kegunaan pengangkutan komersil kerana jarak operasinya yang jauh dan kemampuan isian semula yang pantas.
Untuk pasaran AS, mereka sedang mengusahakan trak jarak jauh yang mampu bergerak sejauh 1,000 kilometer dengan satu cas penuh. Untuk perbandingan Tesla Semi Truck hanya mampu bergerak sekitar 400 hingga ke 800 kilometer bergantung kepada pek baterinya.
Jadi kenapa Switzerland dipilih sebagai lokasi ujian pertama trak sel bahan api Hyundai ini? Jawapannya ialah kerana tidak ada cukai jalan dikenakan kepada trak dengan emisi sifar di negara tersebut. Satu lagi sebab ialah kerana Switzerland merupakan antara negara yang mempunyai paling banyak kuasa hidro di dunia yang fana ini.
Menurut Hyundai lagi, XCIENT Fuel Cell ialah projek sebenar dalam dunia hari ini dan bukannya sekadar perancangan di atas kertas. Dengan berfungsinya trak ini di atas jalan raya hari ini, terciptalah sejarah baharu tentang pencapaian Hyundai dalam pembangunan trak generasi baharu dan pembangunan teknologi hidrogen semasa.