
iCAUR V23 KINI DIPASANG SECARA TEMPATAN, HARGA KEKAL RM132,780
iCAUR Malaysia mengumumkan iCAUR V23 kini dipasang secara tempatan (CKD), dengan unit pertama dijangka mula berada di bilik pameran pengedar sah di seluruh negara menjelang penghujung bulan ini.
Pengenalan versi CKD ini hadir selepas jenama itu mencatat prestasi memberangsangkan apabila disenaraikan antara tiga jenama kenderaan elektrik bateri (BEV) teratas di Malaysia bagi tempoh separuh pertama tahun 2026.
Pengeluaran tempatan iCAUR V23 bermula secara rasmi pada Julai lalu, sekali gus mencerminkan komitmen jangka panjang syarikat untuk memperkukuhkan operasi di Malaysia.

Melalui pemasangan tempatan, iCAUR dapat meningkatkan kecekapan rantaian bekalan, selain menyokong pertumbuhan rangkaian jualan dan perkhidmatan di pasaran tempatan.
Walaupun kini dipasang di Malaysia, iCAUR V23 iWD CKD mengekalkan spesifikasi, tahap kualiti serta kelengkapan yang sama seperti model import sepenuhnya (CBU). Menariknya, harga jualan juga tidak berubah, iaitu RM132,780.
Model iCAUR V23 mula diperkenalkan di Malaysia pada November tahun lalu dalam bentuk import sepenuhnya dan ditawarkan dalam dua pilihan varian, iaitu 2WD serta iWD (pacuan semua roda).

Spesifikasi utama iCAUR V23 2WD:
- Motor elektrik tunggal pada gandar belakang
- Kuasa maksimum: 136hp
- Tork maksimum: 180Nm
- Bateri: 59.9kWh Lithium Iron Phosphate (LFP)
- Jarak pemanduan: sehingga 360km (NEDC)
- Pecutan 0-100km/j: 11 saat
- Kelajuan maksimum: 140km/j
Spesifikasi utama iCAUR V23 iWD (AWD):
- Dua motor elektrik (pacuan semua roda)
- Kuasa maksimum: 211hp
- Tork maksimum: 292Nm
- Bateri: 81.8kWh Nickel Manganese Cobalt (NMC)
- Jarak pemanduan: sehingga 430km (NEDC)
- Pecutan 0-100km/j: 7.5 saat
- Kelajuan maksimum: 140km/j

Bagi ruang kabin, kedua-dua varian menampilkan konsep reka bentuk retro futuristik dengan corong penyaman udara berbentuk segi empat dan kawalan penyaman udara jenis putar.
Kelengkapan standard:
- Skrin infotainmen 15.4-inci
- Tempat duduk balutan kulit tiruan
- Tempat duduk hadapan dengan fungsi pengudaraan
- Pengecas telefon pintar tanpa wayar
- Stereng pelbagai fungsi
- Kamera pandangan sekeliling 540 darjah
- Kawalan Jelajah Adaptif (ACC)
- Bantuan Kesesakan Trafik (TJA)
- Amaran Lintasan Trafik Belakang (RCTA)
- Sistem Brek Kecemasan Automatik (AEB)
Kesemua ciri tersebut dikekalkan pada model CKD, sekali gus memastikan pelanggan menerima pengalaman pemanduan dan tahap kualiti yang setara dengan versi import sepenuhnya, namun dengan kelebihan pengeluaran tempatan yang mampu menyokong bekalan serta perkembangan jenama iCAUR di Malaysia.


