Buletin

ICON OF THE SEAS TAWAR PERCUTIAN KAPAL MEWAH. ADA TAMAN TEMA AIR TERBESAR DI LAUT

Taman tema air terbesar di atas kapal mewah Royal Caribbean, Icon of the Seas benar-benar menyediakan pelbagai tarikan baharu untuk seisi keluarga yang mahukan pengalaman percutian luar biasa.

Icon of the Seas yang sedang dalam pembinaan di Meyer Turku di Finland dijadual melakukan debut pada akhir 2023. Kapal tersebut berukuran 1,198 kaki panjang, mempunyai 20 dek penumpang, tujuh buah kolam, sembilan pusaran air, enam gelongsor air menakjubkan serta dikendalikan oleh 2,350 orang anak kapal. Ia mampu menempatkan seramai 5,610 penumpang dengan 2,805 bilik.

Maksimum kemasukan penumpang adalah pada 7,600 orah. Icon of the Seas akan lebih besar berbanding kapal persiaran terbesar yang ada sekarang di dunia iaitu Wonder of the Seas Royal Caribbean.

Kapal tersebut memang dibina untuk membolehkan anda bersiar-siar dengan adanya kawasan ‘kejiranan’ seperti bahagian Chill Island, Thrill Island, Surfside, The Hideaway, AquaDome, Royal Promenade, Suite Neighborhood dan Central Park yang menyediakan pelbagai keseronokan serta kemudahan terbaik.

Tolak ke tepi sebentar nombor serta tarikan yang mengagumkan. Kapal itu juga beralih kepada sumber tenaga dan bahan api lebih bersih untuk memenuhi matlamat sifar emisi menjelang 2050. Icon of the Seas akan menjadi kapal pertama dalam armada Royal Caribbean dikuasakan oleh gas asli cecair (LNG) selain mempunyai teknologi sel bahan api untuk menggerakkan beberapa operasi kapal.

Bagi pelayaran, Icon akan melakukan perjalanan dari Miami merentasi timur dan barat Caribbean sepanjang tahun. Semua pelayaran akan termasuk persinggahan di pulau persendirian syarikat, Perfect Day di CocoCay di Bahamas. Di sana, terdapat pelbagai jenis keseronokan dengan aktiviti seperti gelongsor air tertinggi di Amerika Utara.

Kapal itu juga akan membawa penumpang melawat Cozumel di Mexico, Roatán di Honduras dan Philipsburg, St. Maarten. Namun begitu, Royal Caribbean masih belum mendedahkan harga untuk sebarang tempahan.

Google ads
Back to top button