
KARAMJIT SINGH & JAGDEV SINGH CEMERLANG DI BUMI INDONESIA
Pelumba veteran dan lagenda rali negara, Karamjit Singh bersama Juruarah, Jagdev Singh beraksi cemerlang di bumi Indonesia sewaktu beraksi di Suwarnadwipa Nusantara Circuit (SNC), Muara Bungo, Provinsi Jambi. Kedua pasangan veteran ini beraksi cemerlang dan berjaya mengharumkan nama Malaysia ketika beraksi di tiga perlumbaan serentak yang berlangsung membabitkan Kejuaraan Nasional Rally Sprint serta Kejuaraan Rally Indonesia pusingan ketiga dan keempat yang berlangsung dari 22 hingga 23 Oktober 2022 yang lalu.
Ternyata kegagalan Karamjit Singh dan juga Jagdev Singh sewaktu berlumba di Asia Pasific Rally Championship (APRC) Danau Toba tempohari terubat dengan kejayaan ini. Sudah tentu kondisi jentera Proton Gen2 Turbo ini telah diperbaiki bagi membolehkan ianya mengharungi perlumbaan dalam tempoh tiga hari berturut. Perlumbaan di Suwarnadwipa Nusantara Circuit (SNC) ini kelihatan cukup menarik apabila ianya dibangun dan direka khusus untuk perlumbaan rali yang turut dimiliki oleh Ketua Umum Ikatan Motor Indonesia (IMI) Provinsi Jambi, AM Guntur.
Dan akhirnya Karamjit Singh dan Jagdev Singh berjaya apabila muncul juara bagi kelas M3 dan kelima keseluruhan bagi perlumbaan Rally Sprint, juara kelas M3 dan kelima keseluruhan bagi perlumbaan Kejuaraan Rally Nasional pusingan ketiga serta juara kelas M3 dan keempat keseluruhan bagi Kejuaraan Rally Nasional pusingan keempat. Hebat pasangan veteran ini.
Ternyata kondisi Proton Gen2 Turbo serta pemanduan yang handal dari Karamjit Singh berjaya membuahkan hasil. Malah berjaya pula mengalahkan beberapa jentera rali yang lebih moden dan sudah tentu mahal belaka daripada kelas M1 dan juga M2.
Lantas ini membuktikan bahawa Karamjit Singh masih lagi handal dan relevan untuk terus berlumba dan mengharumkan nama Malaysia. Melihatkan cara pemanduan Karamjit, rasanya pasti ramai pelumba di Indonesia yang ‘angkat topi’ dengan beliau.

Dalam satu hantaran di Facebook milik Jagdev Singh, beliau sempat menyatakan bahawa gabungan usia mereka adalah 114 tahun! Baik dari segi jentera mahupun gandingan mereka ini, kelihatan tua. Tapi hakikatnya masih hebat untuk beraksi.
Tahun lepas ada laporan dari rakan media dari PaulTan melaporkan kemungkinan Karamjit Singh yang bakal kembali beraksi dalam pentas APRC bersama jentera Proton Iriz R5. Sudah tentu faktor kos yang menjadi halangan utama untuk berlumba di pentas tertinggi di rantau Asia Pasific ini. Nak cari penaja memang payah. Tapi siapa tahu kan, ada yang sudi untuk menaja mereka?
Kredit Foto : FB Jagdev Singh
BACA : VANTAGE MNRC RALLY CHAMPIONSHIP 2022 – KARAMJIT SINGH UNGGUL DI RALLY MARAN
BACA : ASIA PACIFIC RALLY CHAMPIONSHIP 2022 DANAU TOBA – KARAMJIT SINGH JUGA TURUT SERTA!



