Artikel Pilihan

REKAAN SPORT RIM IKONIK YANG MENJADI PUJAAN DI SELURUH DUNIA

Antara cara paling pantas untuk menaiktaraf kereta baru anda sebaik keluar dari ruag pameran tentulah dengan menukar satu set sport rim baru tak kiralah terpakai berjenama ataupun baru tapi buatan Taiwan. Apatah lagi kalau kereta tu model base line dengan rim besi dan penutup rim macam penutup botol kicap lemak manis mak kita kat dapur. Bagi yang mempunyai bajet lebih rim itu akan dibalut dengan tayar-tayar kelas atasan keluaran Eropah ataupun Jepun dan begitu juga sebaliknya. Tapi daripada pelbagai jenama rim aftermarket sama ada original ataupun replika sebenarnya terdapat beberapa rekaan sport rim yang sudah mencapai taraf ikonik.

Enkei RSM9

Sebenarnya tidak banyak syarikat pengeluar yang mempunyai sejarah yang cukup gemilang dalam perlumbaan seperti Enkei. Syarikat yang berasal dari Jepun ini sudah menjadi pembekal rim rasmi pasukan McLaren sejak tahun 1995 dan kini mereka telah menjadi pengeluar rim OEM kepada banyak syarikat pengeluar kenderaan termasuklah General Motors.

Sejak tahun 1950, syarikat ini telah banyak mengeluarkan rekaan rim yang ikonik tetapi model Enkei RSM9 masih kekal popular dan akan menjadi rekaan klasik untuk masa depan. Ia boleh didapati dalam ukuran 17,18 dan 19” diameter dengan kelebaran dari 7.5-10J. Rekaan rim 9-batang ini dikemaskan dengan semburan cat anti-gelongsor di sebelah untuk mengurangkan gelinciran tayar sewaktu pecutan ekstrim.

BBS Super RS

Mana lengkap senarai rim ikonik tanpa rim BBS Super RS. Rim dengan rekaan klasik ini boleh dikatakan sudah diciplak ratusan kali oleh syarikat ternama dan tidak ternama sejak mula diperkenalkan. Mana taknya, sebut je kereta apa di Malaysia ni semua ada dipadankan dengan rim yang mirip BBS Super RS ini. Tapi aci makan sate 20 cucuk semua tu memang bukan BBS asli.  

Rim ikonik BBS ini sebenarnya merupakan rekaan 2-piece dan dihasilkan daripada aluminium tempa da boleh didapati dengan pelbagai kombinasi warna. Tapi warna yang paling glamer semestinya padanan warna emas dan aluminium yang digilap. Sebenarnya bukan semua kereta moden sesuai dengan rekaan retro macam ni. Tapi bagi kereta-kereta lama, ia memang yang menyerlahkan lagi aura sesebuah kereta.

Volk TE37

Rim keluaran Rays ini memang sepadan dengan tagline asalnya “the concept is racing”. Mana taknya, ia pernah dilengkapkan pada hampir kesemua jenis jentera perlumbaan di dunia yang fana ini. Kereta lumba, trak gergasi, jentera drift dan banyak lagi memang cukup serasi dengan rim yang satu ini.

Pada asalnya ia hanya direka dengan saiz 15” dan seberat 3.7 kg. Sejak dilancarkan pada tahun 1996, TE37 terus menjadi evergreen dan kekal popular dari dulu, kini dan mungkin juga untuk 20 tahun akan datang.

OZ Superturismo WRC

Ingin memandu kereta ala-perlumbaan setiap hari? Takkan nak letak spoiler ataupun bodykit perlumbaan pada kereta anda? Jangan bimbang kerana anda boleh memilih rim OZ Superturismo WRC yang memberikan imej yang anda perlukan. Kini boleh dikatakan 90 peratus jentera WRC menggunakan rim jenis ini. Dengan saiz 14-18”, takkan tak ada satu pun yang sesuai untuk kereta anda.   

HRE Vintage Series 454

Tak pernah dengar? Tak pelik sangat sebab HRE ni banyak mengeluarkan rim untuk kegunaan kereta-kereta sports mahal dan juga supercar. Vintage Series 454 ini khusus untuk supercar klasik yang keluarkan antara tahun 80 ke 90-an. GT eksotik dengan kata lain. Rekaan rim 5-jejari ini boleh didapati dalam 80 warna pilihan dengan saiz 18-22”. Ia memang pilihan yang paling tepat untuk supercar-supercar klasik keluaran Itali.

ADV7.2 CF.2

ADV1 ataupun Advance One Wheels merupakan pemain baru dalam pasaran rim selepas jualan. Usia syarikat pun baru 10 tahun tapi mereka mula mendapat perhatian bila mula menghasilkan rim dengan teknologi terkini. ADV7.2 CF.2 merupakan rekaan hasil gabungan ADV1 dan pengeluar serat karbon terkenal, Dymag.

Rim ini merupakan gabungan aluminium gred aero-angkasa di bahagian tengah dan serat karbon di sekelilingnya. Hasilnya lahirlah sport rim hyrid yang 40 peratus lebih ringan dari rim tempaan aluminium biasa.

American Racing Torque Thrust

Ini memang rim pilihan untuk kereta-kereta ‘otot’ keluaran AS. Tak kira sama ada kereta tersebut keluaran moden mahupun klasik, rim ini memang pilihan yang terbaik. Dihasilkan dalam saiz 14-20” ia memang akan menyerlahkan lagi gaya Amerika pada kereta klasik Amerika walaupun anda speaking berterabur.

Vossen CVT

Nama Vossen semakin meningkat naik kebelakangan ini tapi jenama ini sebenarnya sudah berusia hampir 3 abad. CVT merupakan rekaan terbaik mereka dan menjadi mangsa ciplak banyak kali. Namun tidak ada satu pun yang menyamai rekaan dan kualiti yang original. Rim 1-piece aluminium yang ringan ini memang cukup bergaya jika dipadankan pada kereta yang sesuai (semua rim macam tu sebenarnya, salah pasang memang akan nampak kelakar).

Rotiform BM1

Ini rim dengan rekaan retro. Bukan setakat namanya kelakar, rekaannya pula boleh tahan kelakar kalau digunakan pada masa sekarang. Tapi jika kena dengan keretanya. Ia memang terangkat. Buktinya ialah ia memang merupakan rim OEM untuk kereta sports BMW yang popular satu ketika dahulu, BMW M1.

Carbon Revolution CR-9

Kalau tadi merupakan rim hibrid kacukan aluminum dan serat karbon, ini pula ialah rim yang diperbuat daripada serat karbon sepenuhnya. Rekaannya memang bertaraf aero-angkasa ini memang cantik dan moden sesuai dengan rupabentuknya. Disebabkan ia cukup ringan dan kukuh, ia juga akan meningkatkan lagi kualiti pemanduan sesebuah kereta. Dari kereta sedan sports hinggalah ke supercar, rim CR-9 ini akan membuatkan kereta anda lebih bergaya selain meningkatkan prestasi.       

BACA: BICARA TEKNIKAL: MEMAHAMI APA ITU VTEC, iVTEC DAN VTEC TURBO

BACA: SELAMAT DATANG TOYOTA SUPRA TRD

Google ads
Back to top button