![](https://www.mekanika.com.my/wp-content/uploads/2021/02/Citroen-C4-Mekanika-700x470.jpg)
ELEKTRIFIKASI BUNUH KERETA MAMPU MILIK – STELLANTIS
Citroen menyatakan kebimbangan bahawa elektrifikasi membuatkan pengguna sukar untuk membeli kereta pada harga mampu milik. Salah seorang eksekutif kanan Citroen menyifatkan perkembangan ini sebagai satu ancaman sebenar.
“Elektrifikasi menyebabkan harga kereta naik mendadak dan orang ramai tidak mampu membelinya. Ini satu ancaman yang benar dan bukan sahaja berlaku kepada Citroen,” jelas Ketue Divisyen Eropah Citroen, Arnaud Ribault.
Peralihan kepada hibrid dan elektrik menyebabkan ramai pengguna tidak dapat membeli kereta baharu atas beberapa faktor. Faktor utama ialah kos material mentah yang diperlukan untuk membina kereta hibrid atau elektrik adalah jauh lebih mahal berbanding material kereta yang dikuasakan oleh enjin petrol atau diesel.
Sebagai contoh, Citroën C4 yang menggunakan enjin petrol tiga silinder ditawarkan pada harga 22,900 euro (RM103,000). Manakala model elektriknya berharga 35,300 euro (RM159,000). Ini merupakan jurang harga yang sangat tinggi walaupun ia turut ditambah dengan ciri-ciri standard lain.
Satu lagi isu ialah kesukaran pengeluar kenderaan untuk mematuhi piawaian emisi dengan kereta enjin konvensional. Ini membuatkan pengeluar ada dua pilihan asas iaitu kurangkan margin keuntungan yang sudahpun nipis atau alihkan kos kepada pengguna dan melihat angka jualan merudum.
Walaupun masih ada kereta-kereta kecil mampu milik ditawarkan di pasaran Eropah seperti Toyota Aygo X, segmen itu dijangka semakin mengecil.
Ribault memberitahu pihaknya sedang mengurangkan kos bahan mentah kereta, tanpa memberikan sebarang perincian mengenainya.
Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Pegawai Pengilangan Stellantis, Arnaud Debœuf menegaskan bahawa memastikan kos kereta kekal kompetitif adalah sangat penting. Pasaran boleh runtuh jika kereta elektrik tidak murah dalam masa terdekat. Dia juga mengakui ini merupakan satu cabaran yang besar.
Ribault dan Debœuf ialah antara eksekutif kanan yang berani menyatakan kebenaran tentang EV. Akio Toyida sebelum ini ada memberi amaran bahawa pengharaman kereta pembakaran dalaman boleh menyebabkan ramai hilang kerja, masalah bekalan elektrik dan kereta menjadi semakin mahal.
- BACA: MODEL PEUGEOT EDARAN BAASB KINI HADIR DENGAN JAMINAN DAN PENYELENGGARAAN PERCUMA SELAMA 5 TAHUN
- BACA: HANTAR EMEL PELUANG KERJA DI TEMPAT LAIN, KESATUAN PEKERJA KECAM STELLANTIS
- BACA: TOYOTA BAKAL HADIR DENGAN VAN KOMERSIAL BESAR DI EROPAH, REBADGE MODEL STELLANTIS
- BACA: STELLANTIS BERI AMARAN INDUSTRI AUTOMOTIF LUMPUH JIKA HARGA EV TIDAK TURUN