Artikel Pilihan

IKON PERANCIS DILAHIRKAN SEMULA – KALI INI DENGAN HYPERCAR 1100 HP V12

Minggu ini Gordon Murray mendedahkan kelahiran semula McLaren F1 dengan model yang dinamakan T.50 dan kini satu lagi jenama ikonik dari Perancis yang sudah lama hilang muncul kembali.

Menariknya ia juga kembali dengan nadi V12 yang besar gedabak. Delage merupakan jenama yang sudah menghilang selama hampir 70 tahun dan kini mereka muncul dengan sebuah hypercar yang dinamakan D12.

Dah 70 tahun boh, jadi jangan kecil hati kalau korang yang kaki kereta pun tak pernah kenal jenama ini. Ia sebuah syarikat yang diasaskan oleh Louis Delage pada tahun 1905. Ia pernah memenangi banyak kejuaraan GP dari tahun 1920-30-an tetapi menutup operasi pada tahun 1953. Kini mereka kembali dengan sebuah hypercar yang diinspirasikan dari sebuah pesawat pejuang.

D12 menggunakan enjin bersaiz mega 7.6L V12 yang kemudian dipadankan dengan motor elektrik. Bila digabungkan jumlah kuasa maksima 990 hp berjaya dicapai dan dengan berat sekitar 1,400 kg ia dijangka memang akan selaju peluru di atas litar (ayat penyedap suasana). Varian istimewa yang dinamakan Club akan turut dihasilkan dengan 1,010 hp dan berat yang lebih ringan.

Pasukan pembangunan D12 menggabungkan kepakaran bekas juara Formula 1, Jacques Villeneuve dan Benoit Bagur, bekas juara dunia FIA Touring Car sebagai pengarah teknikal. Sama seperti jentera F1 sebenar, D12 juga meletakkan kedudukan pemandu di bahagian tengah kereta dengan penumpang berada di belakang pemandu ala pesawat pejuang.

D12 juga menggunakan rim yang diperbuat daripada serat karbon dengan sistem sejukan brek selain kotak gear automatik lapan-kelajuan.

Delage merancang untuk mengeluarkan hanya 30 unit D12 dengan harga sekitar USD2.3 juta (RM9.6 juta!). Bukan hanya mahal, Delage juga yakin D12 mampu memecahkan rekod kelajuan sepusingan terpantas litar Nurburgring yang kini dipegang oleh Proton Tiara… maaf, Lamborghini Aventador SVJ. Patutlah mahal betul harganya.

Produksi hypercar baharu ini dijadualkan pada tahun 2021. Tak lama dah tu.  

Google ads
Back to top button