Artikel Pilihan

INI FAKTA MENARIK HONDA ACCORD YANG KITA KENA TAHU.

Honda Accord sudah pun memasuki generasi ke 10 yang dipasarkan di Malaysia. Satu ketika dulu Honda Accord merupakan satu kereta eksekutif yang besar menjadi pilihan selain dari Camry, Teana dan dicabar dengan kehadiran Perdana V6. Ia menjadi kereta pilihan sebelum pemiliknya menukar kereta yang lebih mahal seperti Lexus, BMW atau Mercedes.

Kami bawakan kepada anda beberapa fakta menarik berkenaan Honda Accord yang jarang-jarang diketahui umum.

1. Model Accord diperkenalkan sebagai alternatif kepada Honda Civic dengan saiz yang lebih besar kerana Honda menyedari bahawa pelanggan mereka perlukan model yang lebih besar dan mewah pada tahun 1976 sebagai sebuah model hatchback. Model sedan muncul pada tahun 1979.

2. Honda suka menamakan model mereka berdasarkan runut bunyi seperti errr Jazz dan Accord. Menurut Honda, Accord melambangkan keharmonian antara manusia, automotif dan masyarakat. Syarikat Opel cuba menyaman Honda kerana menurut mereka, Honda meniru nama Opel Record. Tapi saman diketepikan oleh mahkamah.

3. Ketika diperkenalkan, ia hanya dikuasakan dengan enjin 1600cc 4 silinder yang menghasilkan 68 kuasa kuda padi sahaja. Generasi seterusnya menyaksikan Honda membekalkan enjin 1800cc, 2000cc, 2200cc, 2700cc V6, enjin VTEC perang, 2400cc i-VTEC, 3500cc V6, dan 2200cc turbodisel.

Bagi generasi ke 10, ia diberi pilihan dengan enjin 1500 4 silinder turbo yang menghasilkan sekitar 198 kuasa kuda. Untuk pasaran US, ia dibekalkan dengan enjin yang sama dengan Civic Type-R yang menghasilkan kuasa sekitar 252 kuasa kuda dengan turbo yang lebih kecil.

4. Sepanjang 10 genarasi yang telah dihasilkan, model Accord telah disebut atau dinobatkan sebanyak 34 kali dalam Car & Driver 10 Best Car. Namun model yang paling banyak terjual dalam keluarga Honda ialah Honda CRV.

5. Model Accord juga merupakan model pertama kereta Jepun yang dipasang di kilang Ohio, Amerika pada tahun 1982 selepas Jepun menandatangani perjanjian untuk menghadkan eksport kereta ke Amerika secara sukarela. Ia merupakan kereta pertaman jenama asing yang dipasang di Amerika

6. Pada tahun 2011, seorang pemilik Honda Accord telah memandu kereta miliknya sejauh 1 juta batu dengan menggunakan enjin dan unit transmisi yang asal. Kereta Honda Accord 1990 dibeli secara terpakai dengan jarak perbatuan 74,000. Honda Amerika menghargai kesetiaan Joe dengan memberikannya sebuah Accord serba baru

7. Honda Accord walaupun besar, namun pelepasan asapnya memenuhi standard yang ditetapkan oleh pihak berkuasa California. Ia mendapat anugerah ULEV (Ultra Low Emission Vehicle) dan terbaru PZEV (Partial Zero Emission Vehicle). Pada tahun 2014, Accord mendapat anugerah Green Car of the Year, disebabkan ia melepaskan hanya sedikit asap, bukan disebabkan ia berwarna hijau

8. Secara umumnya orang Jepun tak gemarkan enjin disel, tapi untuk pasaran Eropah mereka mencipta enjin 2200cc Turbodisel yang menghasilkan 138 kuasa kuda bagi Honda Accord. Semasa ujian Honda Accord ini berupaya mencatatkan penggunaan disel 3.07 liter bagi setiap 100km dengan halaju purata 209km/h bagi tempoh 24 jam

9. Menurut rekod pihak berkuasa, Honda Accord 1994 merupakan model kegemaran pencuri kereta kerana ia merupakan model lasak, popular dan juga senang untuk dipecah masuk. Patut la Honda Wave penulis kena curi

10. Pada tahun 2014, Honda Accord hibrid diperkenalkan dalam usaha untuk mengurangkan lagi pencemaran alam dan menjimatkan bahan api. Model Honda Accord Plug-in hibrid berupaya dipandu sejauh 20km dalam mode elektrik dan bagi setiap liter petrol, ia berupaya dipandu sejauh 20km bagi setiap liter.

11. Bagi versi hibrid terbaru, ia dikuasakan dengan enjin 2000cc i-VTEC LFA1 (siri LF merujuk kepada enjin siri hibrid). Enjin ini dipadankan dengan 2 motor elektrik i-MMD dengan penggunaan petrol ialah 23km bagi setiap liter. Sistem ini menjana 212 kuasa kuda dan 315Nm tork dan tidak menggunakan gear untuk menggerakkan kereta

12. Kuih akok kelantan tidak ada kena mengena dengan Honda Accord, walaupun pemiliknya menggunakan Honda Accord Berlian

Google ads
Back to top button