Modifikasi

INI NISSAN PULSAR – BABY GTR!

Bila sebut Silvia atau Skyline, rata-rata peminat kereta seluruh dunia mesti kenal dengan model berprestasi tinggi keluaran Nissan nih. Popularitinya begitu ketara, hinggakan helaian manga Initial-D dan francais filem Fast & Furious pun ada kelibatnya.

Tapi, bagaimana dengan Pulsar? Ia hanya sebuah model bersaiz kompak, yang berkongsi platform dan nama dengan Sunny. Fuh, tak glamor langsung!

Tapi dalam rangkaian model Pulsar yang pernah diperkenalkan, ada satu varian yang dibina untuk maksud yang lebih serius. Dikenali sebagai Pulsar GTi-R, ia merupakan model homologasi sebenar yang dihasilkan Nissan, untuk menyertai perlumbaan Group A di Kejohanan Rali Dunia (WRC).

Dilengkapi enjin dipertingkat SR20DET (54C), sistem pacuan AWD Attesa dan nisbah kuasa kepada berat yang sangat ideal, Pulsar GTi-R pernah menjadi raja segala hot hatch di zamannya hingga diberi jolokan nama Baby Godzilla.

Kisah kereta ini bermula apabila bapa kepada Vic, berpeluang membawa masuk sebuah model JDM yang diidamkan. Walaupun boleh membeli model berprestasi tinggi seperti Skyline, beliau lebih berminat untuk memiliki sebuah model underated seperti Pulsar GTi-R nih.

BACA: LAGENDA CEFIRO A31

Mungkin statusnya sebagai veteran rali, menyebabkan model-model homologasi lebih menarik perhatian. Sejak itu, Vic telah berkongsi minat yang sama dengan bapanya, hingga menjurus beliau menceburi bidang perlumbaan secara serius.

Vic tidak menggunakan kereta ini untuk pemanduan harian. Sekali sekala, ia akan dibawa mengasah bakat di laluan trek dan touge. Untuk menghasilkan sebuah kereta yang seronok dipandu, bahagian kepala silinder telah dirombak semula, menerusi kerja-kerja port & polish, sebelum menerima sepasang aci sesondol Tomei Procams 260°. Sekeping gasket keluli 1.2mm dari HKS turut dipasang bagi memastikan enjin ini mampu menerima tekanan yang lebih tinggi.

Keupayaan turbo asal dipertingkatkan dengan turbo Garrett GT2871R, yang masih memiliki lengkung saiz yang hampir sama. Kedudukan intercooler tidak berubah, tapi digantikan dengan unit ARC yang lebih besar.

Sebaik injap 4-throttle pada plenumnya ditutup, lebihan boost yang tidak digunakan akan dibawa keluar menerusi injap pelepas HKS SSQV. Bagi mengurangkan suhu dan mengelak letusan pra matang ketika boost tinggi, Vic turut memasang kit water-methanol dari Snow Performance.

BACA: NISSAN MARCH SUPERTURBO

Bekalan bahan api datang dari pam petrol Walbro. Sebuah tangki surge dari Works Engineering juga dipasang, untuk memastikan tekanan bahan api yang stabil ketika menyenget di kawasan selekoh. Vic turut menggantikan penyuntik asal dengan set injektor EVO 560cc, serta pemasangan unit regulator Sard Type RJ. Bagi mengatur kembali perjalanan enjin ini, sistem pengurusan telah diprogram semula menggunakan unit ECU Apexi Power FC.

Sistem pacuan empat roda Attesa kereta ini dipertingkatkan, dengan padanan kotak gear Pulsar GTi-R model RB yang memiliki nisbah gear lebih baik. Termasuk dalam  pakej ini adalah set klac jenis plet berkembar dari OS Giken. Memastikan kuasanya mampu diagih ke bahagian roda dengan cemerlang, kit LSD Nismo telah digunakan pada roda depan dan belakang.

Vic masih mengekalkan rupa paras asal kereta ini, kecuali penggunaan rim 17-inci Rays Sebring ITC beserta tayar Federal 595 RS-R dari saiz 215/45ZR-17. Sistem gantungan ditala secara khusus menggunakan set suspensi kustom buatan Titan. Untuk brek pulak, komponen dari Skyline R32 GTS telah ditempatkan pada bahagian hadapan, sebelum dipadankan dengan pad brek Endless CCR dan hos brek braided yang lebih pejal.

Bahagian dalaman memberi petunjuk yang ia bukan standard seperti disangka. Vic telah mengenakan set roll-cage 6-point Safety 21 dari Cusco demi keselamatan ketika berjimba. Tempat duduk pemandu diganti dengan bucket Sparco Rev 2000 beserta harness dari King Dragon. Manakala sebuah meter boost Apexi, melengkapkan penampilan ringkas ruang ini.

BACA: NISSAN GT-R ITALDESIGN

Dimaklumkan hanya beberapa unit sahaja Pulsar GTi-R yang sah, sedang berlegar riang di negara ini. Kalau campur yang piang sekali pun, belum tentu boleh kira sebelah tangan. Memang bertuah sungguh apabila Vic, dapat mewarisi sebuah hot hatch yang rare seperti ini…

-PAK MAUN-

GALERI

Google ads
Back to top button