
INI PERBEZAAN ANTARA VARIAN ASAS DENGAN VARIAN PALING MAHAL SETIAP KERETA
Harga barang mentah naik, kos tenaga naik, gaji minimum dinaikkan dan harga pelbagai komponen akan meningkat dari semasa ke semasa. Tapi adakah anda perasan walaupun di sebalik kenaikan semua harga barang ini, amat jarang sekali berlaku perubahan harga jualan kereta setelah ia dilancarkan.
Setelah melalui fasa facelift barulah harga kereta akan dinaikkan sedikit berbanding dengan harga lama. Kadang kala kenaikan ini adalah selaras dengan pengenalan beberapa ciri baru yang diperkenalkan bagi menjustifikasikan peningkatan harga jualan.
Bagi memastikan kereta keluaran mereka mampu milik dan sentiasa dipilih oleh pembeli, maka pelbagai varian yang dihasilkan samaada varian yang termahal yang sarat dengan teknologi dan aksesori terkini bagi yang berkemampuan. Ataupun varian asas dengan harga paling murah bagi Antaranya ialah:
1. Lampu depan – jika varian termahal menggunakan lampu depan teknologi LED, sesetengah model kereta masih lagi mengekalkan lampu depan dengan mentol halogen biasa yang dipadankan dengan kanta projektor ataupun pemantul biasa.
Seperti yang kita tahu, lampu LED menggunakan modal yang besar dan lebih banyak sistem elektronik yang diperlukan untuk beroperasi. Malah varian termurah juga tidak disediakan dengan lampu nyalaan siang (DRL).

2. Lampu kabus depan – ini antara komponen wajib yang tidak dipasang pada kereta varian termurah walaupun sekadar lampu kabus dengan mentol halogen. Dalam aspek ini, hanya Toyota Vios menawarkan lampu depan LED dan lampu kabus LED bagi semua varian
3. Rim & tayar – ini merupakan perbezaan terbesar antara varian termahal dan juga termurah bagi sesetengah jenama. Bagi varian murah, ia akan dipasang dengan rim yang lebih kecil dan juga tayar daripada jenama yang biasa-biasa sahaja.
Malah berdasarkan pengamatan kami, tayar ini biasanya boleh bertahan sekitar 40,000km sahaja sebelum prestasinya merosot. Tapi sekurang-kurangnya anda masih mendapat rim aloi dan bukannya rim besi seperti Axia manual tanpa penutup plastik.
4. Tiada kemasan mewah – tiang B akan diwarnakan dengan warna asal kereta (bukannya hitam berkilat), tidak diberikan kemasan krom, tiada spoiler belakang dan tidak dipasang dengan pakej skirting. Dalam keadaan standard, kereta anda mungkin akan nampak togel sedikit
5. Tiada fungsi tambahan lain – kalau anda perhatikan ciri keselesaan yang lain turut dihilangkan bagi menjimatkan kos seperti sensor parkir depan, pengelap cermin belakang, pemanas cermin belakang bagi membuang kabus dan kadangkala sensor parkir belakang juga turut dihilangkan.

Selain itu, anda juga terpaksa lupakan saja ciri tambahan lain seperti kamera 360 darjah yang memudahkan anda memarkir kenderaan, apatah lagi ciri amaran trafik lintasan belakang, amaran titik buta dan juga brek cakera belakang
6. 2 beg udara – ya ia merupakan sistem perlindungan wajib selepas digazetkan dalam undang-undang, tapi sesetengah jenama masih tidak memberikan ciri brek anti terkunci ABS manakala hanya sesetengah jenama sahaja yang memberikan ciri kawalan kestabilan elektronik kepada varian termurah
7. Ciri kedap bunyi yang minima – anda akan perasan yang tiada bahan kedap bunyi dipasang pada bahagian bawah penutup enjin, penutup atas enjin, penutup ruang bawah enjin, pada pintu ruang kargo, dan juga pada bahagian dalam pintu.
Mungkin juga kalau anda baca betul betul brosur jualan, anda akan perasan yang cermin depan juga berlainan antara varian mahal dan murah. Varian mahal diberikan cermin yang lebih senyap. Kalau ada duit lebih, mungkin anda boleh pasang sendiri bahan kedap bunyi bagi kualiti NVH yang lebih baik
8. Balutan fabrik kusyen – sesetengah kereta menggunakan fabrik balutan kusyen yang berkualiti rendah, terasa kasar dan juga span yang digunakan terasa nipis serta menyebabkan badan anda menjadi penat bila memandu jarak jauh.

9. Sistem audio yang asas – pemain cakera digital telahpun ditamatkan dan digantikan dengan unit sambungan USB bagi memainkan lagu kegemaran anda. Ada juga pengeluar kereta yang tidak meletakkan sambungan Bluetooth pada radio, jadi susah juga kalau anda nak jawab panggilan atau dengar lagu yang tersimpan dalam telefon
Malah ada yang dipasang dengan 2 pembesar suara sahaja berbanding dengan 4 pembesar suara bagi model mahal. Jadi kalau anda ada duit, beli sahaja pemain audio yang berasaskan android dengan ciri sambungan Android Auto yang lebih canggih.
10. Aspek keselesaan yang asas – anda juga tidak diberikan ciri pengecas telefon, butang penghidup mula enjin, bukaan pintu tanpa kunci, tiada ruang poket di belakang kusyen, meter analog yang asas, tiada perehat kepala untuk kusyen belakang dan bagi sesetengah model, center console juga turut tidak disediakan
11. Ciri keselamatan aktif – buat masa ini hanya Nissan Almera , Perodua Ativa, Perodua Myvi dan Perodua Alza yang diberikan ciri amaran pra-perlanggaran dan juga brek pra-perlanggaran bagi semua varian. Malah Perodua juga memberikan ciri lain seperti Auto High Beam bagi varian Myvi, Alza dan Ativa terendah
Bagi jenama lain, anda perlu membeli varian lebih mahal untuk mendapatkan teknologi sistem keselamatan aktif (Advanced Driver Assist) bagi kereta anda.

Ya itukah sedikit sebanyak perbezaan antara kereta varian premium dengan varian yang asas antara setiap jenama. Biasanya varian premium akan lebih banyak diiklankan pada umum tapi seperti yang anda tahu perbezaan harga adalah sangat ketara sehingga RM 10,000.
Jadi atas dasar ini kami mengambil inisiatif dengan menghasilkan review varian paling asas bagi setiap model yang baru dipasarkan kerana kami tahu tak semua pembeli memiliki bajet kewangan yang besar bagi membeli kereta baru



