SAINTIS CHINA UJI KERETA ‘TERBANG’
Sudah pasti suatu ketika dahulu anda mengimpikan untuk memiliki sebuah kereta terbang yang sebenar, tanpa rekaan yang aneh-aneh dan bilah kipas KDK di keempat-empat sudut.
Kini, saintis China dilapor sedang menguji kereta terbang dengan menggunakan kereta sebenar, namun dilengkapi dengan teknologi levitasi magnet (Maglev).
Laporan Xinhua News Agency menyebut, ia sebenarnya merupakan satu eksperimen untuk mengkaji rekaan jalan raya dan pendekatan keselamatan untuk pemanduan berkelajuan tinggi.
Para pengkaji di Southwest Jiaotong University telah membina sebuah rel konduktor sepanjang 7.9 km dan setiap satu unit kenderaan telah dipasangkan dengan susunan magnet kekal di bawah.
Video demonstrasi itu menunjukkan kenderaan tersebut bergerak pada kelajuan yang agak rendah, akan tetapi dalam dunia nyata, keretapi maglev sebenarnya mampu mencapai kelajuan yang jauh lebih tinggi.
Cuma, dengan menggunakan teknologi ini, tiada sebarang kawalan stereng diperlukan memandangkan kereta bergerak mengikut ‘landasan’ yang telah ditetapkan.
Menurut Dr. Zigang, ketua pasukan pengkaji menjelaskan, “Langkah seterusnya adalah untuk fokus kepada pembangunan kenderaan sebenar untuk memperlihatkan kereta maglev pertama yang mampu terapung dan bergerak.
Sumber: Xinhua News Agency