Artikel PilihanBuletin

INI TIP MEMANDU TANPA GUNA TELEFON BIMBIT

Sejak teknologi komunikasi bertambah canggih, tabiat sesetengah pemandu semakin menjadi-jadi.

Telefon pintar boleh dikatakan sentiasa berada di tangan. Apabila leka, kejadian tidak diingini boleh berlaku. Biasanya terlanggar kereta di hadapan.

Paling minimum, mata pemandu masih terpana pada skrin telefon sehingga lampu isyarat berwarna hijau pun masih leka.

Juga menakutkan apabila segelintir penunggang motosikal turut sama menggunakan telefon bimbit walaupun motosikal sedang bergerak.

Perkara seperti ini adalah masalah di serata dunia malah pada satu ketika kerajaan begitu giat berkempen bagi mencegah perbuatan berisiko ini.

Kali ini kami bawakan tip dari GEM Motoring Assist, sebuah organisasi keselamatan jalan raya dan kerosakan kenderaan di United Kingdom berkenaan dengan penggunaan telefon bimbit.

Menurut GEM, penggunaan telefon bimbit bukan sahaja menyalahi undang-undang tetapi amat berisiko tinggi.

Di UK, denda untuk penggunaan telefon bimbit yang diperkenalkan pada 1 Mac 2017 berjumlah GBP 200 dengan enam mata penalti.

Data yang diperolehi dari Jabatan Pengangkutan UK mendapati bahawa terdapat jumlah yang begitu tinggi dalam penyalahgunaan telefon bimbit di kalangan pemandu.

Sebanyak 37 peratus pemandu merasakan peluang untuk mereka tertangkap adalah rendah dan 52 peratus tidak peduli tentang akibat apabila mereka tertangkap.

Neil Worth, Pegawai Keselamatan Jalan Raya GEM memaklumkan bahawa gangguan semasa memandu sangat merbahaya.

“Gangguan semasa memandu sama ada dari dalam atau luar kereta, atau dalam fikiran atau kelakuan yang tidak berkenaan dengan pemanduan adalah punca utama kemalangan dan kehilangan jiwa”

“Menggunakan telefon semasa memandu adalah kesalahan serius dan walaupun dalam mod bebas tangan ianya tetap berpotensi mendatangkan gangguan, pertama sekali berpunca dari tindakan fizikal seperti menaip atau skrol maklumat dalam telefon pintar”

“Tanpa langsung menggunakan telefon sepanjang perjalanan, anda bukan sahaja patuh kepada undang-undang tetapi juga anda dapat melakukan tindak balas awal kepada bahaya dan ianya adalah elemen penting dalam memastikan keselamatan anda.”

Apa yang dikatakan oleh Neil Worth ini memang benar dan berikut ialah tip ringkas dari GEM berkenaan penggunaan telefon bimbit dan pemanduan:

1. Boleh guna asalkan…

Tiada masalah hendak guna telefon asalkan semasa anda parkir dengan selamat di mana enjin dimatikan dan brek tangan ditarik.

2. Jangan jawab langsung panggilan

Apabila telefon berbunyi atau bergetar, jangan langsung jawab panggilan termasuklah sewaktu menunggu di lampu isyarat atau beratur dalam kesesakan.

3. Guna mod bebas tangan pun belum tentu..

Usah sangka apabila menggunakan mod bebas tangan bermakna anda terhindar daripada sebarang risiko.

Anda masih boleh terganggu dan di UK ianya adalah kesalahan (tiada kawalan pemanduan) dan boleh didenda sebanyak GBP 100 dan penalti tiga mata

4. Sebelum memulakan perjalanan, ambil masa dahulu

Ini nasihat yang praktikal. Sebelum memandu luangkan masa untuk membuat panggilan penting atau memeriksa mesej dan emel.

Kena biasakan juga kepada orang sekeliling seperti kawan, keluarga dan rakan sekerja bahawa kita ini jenis berdisiplin.

Perlu ada satu tabiat bahawa “Owh mungkin dia sedang memandu sebab itu tidak jawab panggilan”.

5. Rancang perjalanan

Apabila memandu kena ada perancangan, contohnya nak berhenti di mana dan pada kesempatan itulah anda boleh menggunakan telefon untuk membuat panggilan, menghantar mesej atau emel dan berinteraksi dalam media sosial.

Akhir sekali, penggunaan telefon pintar boleh mendatangkan tabiat buruk seperti ketagihan dan mengambil ruang keamanan fikiran.

Cuba lah untuk berpisah sementara dan rasai kebebasan tanpa mata dan fikiran tertumpu kepada skrin telefon sahaja.

BACA: BASUH KERETA MUSIM HUJAN? KAMI NAK KONGSI BEBERAPA TIP

BACA: TAYAR SIMPANAN : INFO & TIPS TAMBAHAN

Google ads
Back to top button