Buletin

BERANG DAPAT TIP SIKIT. PENGHANTAR MAKANAN WANITA BAWA BALIK PESANAN

Seorang penghantar makanan wanita yang tidak berpuas hati dengan tip diberikan membawa pulang semula pesanan makanan pelanggannya.

Menurut laporan Mirror, satu rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di sebuah rumah di New York menunjukkan pelanggan tersebut meminta penghantar makanan dari DoorDash meletakkan bungkusan makanan di depan pintunya.   

Begitupun, wanita berkenaan tidak berbuat demikian dan memberitahu mahu bercakap dengan pelanggannya mengenai tip berjumlah AS$8 (RM32.25) yang ditinggalkan untuknya.

Penghantar makanan itu meminta pelanggan lelaki tersebut mempertimbangkan jarak 20 kilometer dan masa perjalanan selama 40 minit yang terpaksa ditempuhinya untuk memandu dari restoran ke rumahnya bagi menghantar pesanan makanan itu.

Pelanggan itu kemudian bertikam lidah dengan wanita berkenaan sambil menegaskan perjalanan dari restoran tersebut hanya mengambil masa 15 atau 20 minit.

Pertengkaran itu akhirnya membuatkan wanita itu berang lalu membawa balik bungkusan makanan yang dipesan oleh pelanggan tersebut.

Klip video yang dimuat naik di laman YouTube itu ditonton lebih 552,000 kali.

Bahkan, klip video berkenaan menjadi perbincangan warganet.

Salah seorang pengguna berkata kalau anda membawa beca kemungkinan akan mengambil masa sehingga 40 minit.

“Kalau menaiki kereta paling lama pun hanya 15 minit sahaja,” katanya.

Dalam pada itu, jurucakap Doordash berkata pihaknya mengambil serius keselamatan para pelanggan dan tidak bertoleransi terhadap tingkah laku sedemikian rupa.

“Apa sahaja kelakuan yang menyalahi polisi toleransi sifar akan berdepan tindakan penyahaktifan. Dasher berkenaan telah dikeluarkan dari platform kami,” ujarnya lagi – agensi

Google ads
Back to top button