;
Buletin

INI 5 TIPS ELAK KEGANASAN JALAN RAYA

Keganasan jalan raya adalah suatu yang menyedihkan. Jika boleh, elakkan daripada terlibat atau terperangkap di dalam situasi ini dan apabila berlaku biarlah diuruskan oleh pihak berkuasa.

Satu perkara kenapa perlu beralah ialah kita tidak mengenali individu yang dihadapi tersebut. Mahu atau tidak, kita perlu biarkan perkara tersebut diuruskan oleh pihak berkuasa.

Dalam mengurus dan mengelak kejadian seperti ini menimpa diri, GEM Motoring Assist yang merupakan pakar keselamatan jalan raya dari United Kingdom memberikan sejumlah tips untuk diikuti. 

Berikut ialah lima tips yang dikongsi untuk keselamatan pemandu:

1. Kekal bertenang

Dalam setiap perjalanan wujud risiko berlakunya ketidakpuasan hati dan konflik. Sentiasa ingatkan diri untuk bersabar. Elak menggunakan hon atau membuat isyarat dalam keadaan marah.

2. Elak daripada bersaing dan bertanding

Apabila sikap dan tingkah laku pemandu lain mengecewakan atau menyusahkan anda, jangan cuba untuk mengajar atau menyanggah mereka.

3. Jangan bersikap memaksa

Jangan mencelah dengan cara memaksa. Pastikan anda mengikut aturan dan memberi isyarat dengan baik dan biasanya akan ada pemandu memberi laluan.

4. Zahirkan terima kasih dan minta maaf

Sikap yang baik biasanya dapat membantu. Apabila anda membuat kesilapan atau berlaku kecuaian, rendahkan diri dan minta maaf bagi mengelak konfrontasi supaya dapat meredakan keadaan dan kemarahan.

5. Elakkan daripada masalah

Apabila diri anda rasa terancam disebabkan pemandu lain, pastikan kereta anda dikunci dan pandu terus ke balai polis terdekat atau kawasan yang sibuk seperti stesen minyak. Guna telefon bimbit untuk menghubungi pihak berkuasa.

Selain lima tips di atas, GEM melalui Pegawai Keselamatan Jalan Raya, Neil Worth berkongsi nasihat berikut:

“Kami menggalakkan supaya pemandu melapangkan masa atau keluar awal untuk perjalanan mereka, ini supaya pemandu merasa tenang dan berada di dalam kawalan.

“Tekanan boleh meningkatkan risiko dan meningkatkan potensi berlakunya kejadian agresif.

“Kami juga menggesa supaya pemandu mengelak daripada terlibat di dalam keadaan berisiko dan merbahaya. Jika anda merasa risau dengan pemandu lain atau berada di dalam keadaan bahaya, cuba untuk berhenti dan hubungi pihak polis.”

Tips dan pesanan di atas ialah untuk kita semua dan tidak dilupakan, panduan untuk penulis sendiri. 

Tags
Google ads
Back to top button