Artikel PilihanBuletin

INILAH RUPA KABIN PESAWAT MEWAH ARAB SAUDI – RAJA SALMAN BIN ABDULAZIZ

Kedatangan Raja Salman Abdul Aziz ke Malaysia baru-baru ini bersama rombongan beliau telah membuka satu lembaran baharu kerjasama Malaysia dan Arab Saudi. Tapi itu bukanlah perkara pokok dalam artikel ini, itu adalah kerja Menteri-menteri dan kakitangan kerajaan yang berkaitan.

Kami ingin mengulas mengenai pesawat rasmi beliau yang telah membawa rombongan Arab Saudi ke sini dan beberapa negara selepas itu. Janganlah terkejut bila mekanika menyiarkan tentang pesawat kerana kami akan ulas apa sahaja yang beroda. Kami juga pernah mengulas tentang Antonov 225, pesawat terbesar dunia yang mendarat di KLIA.

Pesawat yang membawa Raja Salman dan rombongan ialah pesawat Boeing 747-400 yang dikuasakan dengan empat enjin Pratt and Whiteney PW4062A. Ia merupakan pesawat model yang sama digunakan sebagai asas kepada pesawat rasmi Presiden Amerika Syarikat, Air Force One.

747-400 merupakan sebuah pesawat Boeing yang terbesar dan sesuai untuk perjalanan jarak jauh khususnya untuk pemimpin-pemimpin negara. Selain Amerika Syarikat, terdapat beberapa lagi negara yang menggunakan Boeing 747 sebagai pesawat ketua negara mereka antaranya ialah Arab Saudi, Jepun, Emiriah Arab Bersatu, Brunei, China dan India.

Sebagai pesawat rasmi yang digunakan oleh pemerintah yang ternama semestinya ia diubahsuai secara total di bahagian dalamannya sesuai untuk kegunaan seorang Raja. Untuk pengetahuan anda, Boeing 747 dipilih kerana ia cukup besar dan mempunyai dua dek menjadikannya mampu membawa 450 penumpang dalam satu masa.

Ia juga mampu terbang sejauh 14,200 kilometer dengan beban penuh. Tetapi pesawat Raja Salman sudah diubahsuai menjadikannya seumpama sebuah istana terbang. Tiada lagi tempat duduk untuk 450 penumpang tetapi digantikan dengan kemudahan yang sama seperti sebuah istana di udara.

Untuk memudahkan Raja Salman turun dan menaiki pesawat, ia juga turut dilengkapi dengan dua tangga bergerak bersalut emas. Selain daripada itu, pesawat ini juga turut membawa dua buah kereta Mercedes-Benz S600 Limousine untuk kegunaan baginda.

Bahagian dalaman pesawat juga semestinya dilengkapkan dengan perabot dengan kemasan dari emas. Tempat duduknya seperti sofa dan meja makan semestinya bukan dibeli di kedai perabot biasa kita kunjungi. Ia dilapisi dengan kulit asli dan ditempah khas untuk kegunaan seorang Raja.

Begitu juga dengan tempat tidur bersaiz besar dan meja makan yang serba mewah dengan kelengkapan dapur dibantu oleh tukang-tukang masak ternama untuk memenuhi keperluan baginda.

Malah boleh dikatakan dalam pesawat yang kini boleh membawa 10 ke 12 orang itu berbanding 450 orang kapasiti asal, semua bahagian dinding dan kemasan perabotnya dihiasi dengan kemasan emas.

Selain daripada itu pesawat ini juga turut dilengkapi dengan kamar mandi yang serba mewah juga dihiasi dengan kemasan efek emas di sana sini. Berada di dalamnya bagaikan berada di dalam sebuah hotel tujuh bintang.

Sebenarnya gambar dalam pesawat ini tidak banyak berjaya dirakam dan ia dikatakan lebih sulit berbanding pesawat Air Force One presiden Amerika Syarikat. Malah sewaktu kedatangan rombongan Raja Salman ke rantau Asia Tenggara, rombongan baginda bukan hanya menggunakan satu tetapi empat Boeing 747, dua Boeing 777 dan sebuah pesawat Hercules C-130.

Apapun beberapa gambar yang dapat kami kongsikan di sini rasanya sudah cukup untuk menggambarkan kekayaan negara Arab Saudi dan Raja Salman yang memegang gelaran Penjaga Dua Kota Suci.

BACA: ANTONOV 225, PESAWAT TERBESAR DUNIA DI KLIA

BACA: KERETA TERBANG LIBERTY DIBUKA UNTUK TEMPAHAN

KREDIT FOTO DREAM INDONESIA

Google ads

admin

mekanika.com.my / permotoran gaya baru untuk generasi baru.
Back to top button