Artikel PilihanBuletin

INILAH VW KOMBI TERAKHIR – DARI 1957 HINGGA 2013

Tahukah anda kereta paling lama dalam produksi bukanlah Proton Saga? Pada tahun-tahun terakhir Proton Saga dipasarkan memang biasa kedengaran kecaman sampai bila Proton hendak menjual model ini.

Bayangkan, dari tahun 1985 hingga 2008 model sama telah dijual. Tidak dinafikan pelbagai varian dikeluarkan daripada model bampar besi hingga LMST, Saga tetap Saga sehingga generasi kedua dikeluarkan.

Saga generasi kedua pun lama juga berada di pasaran iaitu selama enam tahun hinggalah digantikan pada tahun lalu.

Saga generasi keempat pula tidak tahu bagaimana lagi sebab Proton sekarang sudah berada dalam kumpulan ZGH. Mungkin lebih canggih atau bersifat global dan dieksport semula ke United Kingdom. Siapa tahu?

Sebenarnya model paling lama diproduksikan dalam sejarah automotif dunia ialah Volkswagen Kombi. Sebelum ini kami ada paparkan pengganti Kombi iaitu I.D. BUZZ yang dikuasakan oleh tenaga elektrik tetapi itu lambat lagi.

Kalau jarak Proton Saga generasi pertama dan kedua mengambil masa selama 23 tahun, VW Kombi ini pula berada di pasaran dari tahun 1957 hinggalah dihentikan pada tahun 2013.

Punyalah lama, 2013 – 1957 = 56 tahun. Lebih setengah abad.

Model ini diproduksikan di Brazil dan sempena varian terakhir, Volkswagen do Brasil telah memperkenalkan Kombi Last Edition.

Kombi ini dikeluarkan bagi meraikan salah satu model VW paling berjaya di Brazil dan juga model paling lama dihasilkan dalam sejarah automotif dunia.

Ciri istimewa Kombi Last Edition

Memandangkan ia istimewa, Kombi Last Edition hanya dikeluarkan dalam unit terhad iaitu sebanyak 600 buah sahaja dan tampil dengan ciri-ciri unik seperti warna badan eksklusif, kemasan dalaman mewah dan elemen rekaan yang memberi penghormatan kepada pelbagai versi Kombi di Brazil sejak tahun 1957.

Ia tampil dengan warna dua tona istimewa putih dan biru dan setiap model dilengkapi plak nombor khas di papan pemuka. Mewujudkan kenangan nostalgia ialah tayar dinding putih, penutup rim putih dan tingkap belakang dengan penebat haba.

Bahagian atas gril, rim lampu utama dan lampu isyarat pula sama warna dengan badan. Lampu isyarat juga istimewa dengan lensa kristal manakala pada sisi van ialah pelekat edisi istimewa iaitu ‘56 anos – Kombi Last Edition’.

Interior Kombi Last Edition 

Pada bahagian dalaman, Kombi ini didatangkan dengan langsir fabrik khas berwarna biru untuk tingkap sisi dan belakang dan tambah unik apabila pada pelarasnya mempunyai cetakan logo Kombi yang merupakan identiti varian paling mahal pada era 60 an hingga 70 an.

Balutan kerusi turut istimewa dengan material vinyl mengikut tema dua warna iaitu Atlanta Blue dan putih. Kombi ini boleh memuatkan sehingga sembilan penumpang.

VW Kombi dengan pengganti, VW I.D. BUZZ

Panel sisi, pintu dan kargo turut dikemaskan dengan vinyl Atlanta Blue dan diriasi sulaman dekorasi. Lantai kabin dan bagasi pula dipasangkan karpet yang diselangi material dilour Basalto iaitu bahan sama yang digunakan pada penutup tayar gantian.

Kluster instrumen pula mempunyai rekaan istimewa namun masih mengekalkan susun letak Kombi asal iaitu meter kelajuan di tengah dan tolok minyak di sebelah kanan. Sistem hiburan pula moden dengan fungsi MP3, slot AUX dan USB yang ditemani cahaya lampu LED merah.

Untuk menggerakkan Kombi ini, enjin yang digunakan ialah dari model EA111 1.4 liter berkuasa 78 PS jika menggunakan petrol atau 80 PS dengan bahan api ethanol. Transmisi pula DSG tujuh kelajuan. Okay tipu. Transmisi empat kelajuan manual.

Jadi bila dah istimewa dan unik bagaimana hendak memastikan ia adalah benar-benar tulen?

Sama seperti Yamaha 125Z R Movistar, VW Kombi Last Edition didatangkan dengan sijil khas kepada pemiliknya.

Ini barulah ikonik, hype rare, collector’s item dan memang betul-betul nostalgik!

BACA: VOLKSWAGEN MICROBUS YANG REPUT TERUK INI TERIMA BIDAAN HAMPIR RM40,000!

BACA: VW KOMBI BAKAL KEMBALI – 70 TAHUN SELEPAS MODEL PERTAMA!

Google ads
Back to top button