Buletin

VW TIGUAN BLACK EDITION DAN T-ROC BLACK EDITION, 2.0 TSI DAN 1.5 TSI, SENARAI EDISI HITAM TAMBAH MERIAH

Black Edition untuk sesebuah model tidak semestinya dibuat dalam warna serba hitam. Black Edition secara umumnya merujuk kepada sejumlah perkakasan warna hitam sesebuah model istimewa.

Contoh terbaru boleh dilihat pada Volkswagen Tiguan Black Edition dan T-Cross Black Edition untuk pengguna di United Kingdom (UK).

Dua model ini tawaran terbaru selepas T-Roc R Black Edition pada Ogos 2024. VW memiliki sejumlah kenderaan utiliti sukan (SUV) dan T-Roc berada di antara T-Cross dan Tiguan.

Edisi terbaru ini diletakkan di atas varian R-Line dengan perkakasan luar warna hitam termasuk rim aloi York 18 inci untuk T-Cross dan 20 inci bagi Tiguan.

Volkswagen T-Cross Black Edition 2025

Kedua-dua model juga dilengkapi lampu besar matrik IQ.LIGHT dengan suluhan terang sehingga 500 meter, lampu belakang LED dan isyarat pembelokan dinamik.

Tiguan Black Edition turut menerima pakej bantuan pemanduan yang merangkumi Bantuan Lorong dan Bantuan Kecemasan.

Pelanggan T-Cross Black Edition pula boleh bertukar kepada warna Pure White tanpa bayaran tambahan.

VW menawarkan dua pilihan enjin iaitu 1.5 TSI dengan 115 ps dan kotak gear manual atau tukaran terus DSG. Satu lagi pilihan enjin 1.5 TSI berkuasa 150 ps dan kotak gear DSG.

Tiguan Black Edition digerakkan enjin 2.0 TSI dengan DSG dan pacuan semua roda 4MOTION. Pelanggan boleh memilih dua jenis kuasa iaitu 265 ps atau 204 ps yang baru untuk pasaran UK.

T-Cross diperkenalkan pada 2018 dan dipertingkatkan pada Ogos 2023 dengan perubahan pada rekaan luar dan dalam dan kelengkapan. SUV ini begitu laris dan sudah terjual melebihi lebih 1.2 juta buah di serata dunia.

Tiguan pula merupakan model VW terlaris di peringkat dunia. Model generasi ketiga diperkenal pada September 2023 dan tampil dengan rekaan luar dan dalam baharu.

Tiguan dibangunkan daripada pelantar MQB-evo terbaru Kumpulan Volkswagen dan membolehkan pelbagai sistem baharu dilengkapkan.

Black Edition sememangnya pilihan popular di kalangan pemilik VW yang mahukan penampilan berbeza.

Dua varian terbaru ini menyertai himpunan Black Edition UK seperti Polo, Taigo, T-Roc, T-Roc R, Golf Hatch dan Golf R Black Edition.

Berkenaan harga, T-Cross Black Edition bermula daripada 29,985 pound (RM169,002) dan 46,605 pound (RM262,676) untuk Tiguan Black Edition.

Tiguan R-Line Black Edition dengan enjin 2.0 TSI 204 ps berharga 45,605 pound (RM257,054).

Google ads
Back to top button