Buletin

TAK TAHAN KENA KECAM, PLUS TUTUP RUANG KOMEN DI FB

Pelaksanaan lorong Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) di tol-tol seliaan PLUS Malaysia Berhad (PLUS) yang tidak berfungsi seperti diharapkan jelas menimbul rasa marah dan tidak puas dalam kalangan pengguna. 

Sistem yang sepatutnya memudahkan pemandu itu sebaliknya membuatkan keadaan di tol sesak teruk. Seperti yang dilaporkan semalam, tol di Bandar Sri Putra Bangi sesak teruk sejak awal pagi ketika ramai hendak keluar ke tempat kerja. 

Tempoh melepasi tol yang biasanya hanya mengambil masa beberapa minit tkini memakan masa sehingga 30 minit. Keadaan sama turut berlaku di Tol Sungai Besi yang menyaksikan kesesakan luar biasa sehingga 10 kilometer. 

Justeru, pengguna lebuh raya yang tidak berpuas hati meluahkan perasaan mereka di ruangan komen laman Facebook rasmi PLUS. Malangnya, daripada menjadi lebih bertanggungjawab dengan memberikan penjelasan atau memohon maaf, PLUS sebaliknya menutup ruangan komen tersebut. 

Tindakan kebudak-budakan itu jelas sekali lagi menimbulkan rasa kurang senang terhadap pengendali lebuh raya utama negara tersebut. 

Isu tersebut turut mendapat reaksi daripada Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadhilah Yusof yang mahu PLUS dan Touch ‘N Go Group segera menyelesaikan segala masalah yang membelenggu pelaksanaan RFID di lebuh raya. 


Terbaharu, PLUS dalam satu kenyataan media memberitahu pihaknya menghargai maklum balas dan pandangan orang ramai terhadap masalah kesesakan di plaza tol. Ia juga menyatakan telah mengambil tindakan untuk menambah baik mutu perkhidmatannya. 

Google ads
Back to top button