Buletin

ISUZU D-MAX ARCTIC TRUCKS AT35 – CUBA TEKA BERAPA HARGA?

Jika mengikut skala, Isuzu bukan syarikat yang besar jika dibandingkan dengan pengeluar Jepun. Fokus perniagaan ialah pada enjin dan kenderaan komersil.

Suatu masa dahulu Isuzu ada juga mengeluarkan kereta penumpang dan kini tinggal sejarah. Sekarang ini wakil Isuzu dalam pasaran awam ialah pikap D-Max dan SUV MU-X.

Walaupun hanya mempunyai dua model Isuzu adalah syarikat kecil yang cekal. Pengeluar lain seperti Nissan, Ford dan Toyota mempunyai sumber yang besar.

Senario itu tidak bermakna Isuzu perlu merendah diri, pikap D-Max hadir dengan keistimewaan tersendiri seperti jimat minyak dan kos penyelenggaraan rendah.

Salah satu lagi strategi supaya produk sentiasa mendapat perhatian ramai ialah mempelbagaikan varian D-Max. Oleh itu kita boleh lihat pelbagai edisi D-Max dikeluarkan dan mereka tidak pernah sepi dengan idea dan pembaharuan.

Tahun lalu Isuzu UK pernah memasarkan D-Max Arctic Trucks AT35 yang begitu ranggi dengan tayar besar. Untuk 2018, Isuzu kembali lagi dengan versi kemaskini.

Sebelum itu, Arctic Trucks bukan nama khas tetapi ia adalah sebuah syarikat yang berpangkalan di Iceland dan khusus dalam pengubahsuaian kenderaan untuk keadaan muka bumi mencabar.

Nama Arctic Trucks meningkat popular apabila mereka menyediakan Toyota Hilux untuk ekspedisi TopGear ke gunung berapi di Iceland.

Berikut ialah kelengkapan pada Isuzu D-Max Arctic Trucks AT35 2018:

  • Tayar Nokian Rotiiva AT 35″
  • Roda 17″ x 10″
  • Suspensi Fox Perfomance Series
  • Arka roda lebar
  • Pemijak kaki sisi yang lebih lebih lebar
  • Emblem Arctic Trucks
  • Kerusi balutan kulit dengan kemasan baharu
  • Perehat lengan dengan permukaan lembut
  • Kemasan hitam kilat pada suis tingkap, corong penyaman udara dan laci papan pemuka
  • Skrin sesentuh tujuh inci dengan fungsi Apple CarPlay™ dan Android Auto™

Kemasan dalaman baharu ini menjadikan suasana dalaman pikap ini bertambah mewah dan selesa. Selain itu pikap ini turut didatangkan dengan tiga warna baharu iaitu Spinel Red, Sapphire Blue dan warna tempahan khas Galena Grey.

Pembaharuan yang dilakukan tidak melibatkan kosmetik sahaja tetapi dengan penambahan Trailer Sway Control sebagai kelengkapan standard.

Teknologi ini menggunakan sensor yang mampu mengesan goyangan dan mengurangkan kelajuan apabila ia berlaku.

Kelajuan diperlahankan dengan mengurangkan tork enjin dan brek diaktifkan secara automatik tanpa tindakan daripada pemandu. Pada masa yang sama lampu brek dinyalakan secara automatik bagi memberi isyarat kepada kenderaan belakang.

Walaupun mempunyai badan yang kecil berbanding pesaing, D-Max Arctic Trucks AT35 mempunyai keupayaan menunda sehingga 3.5 tan.

Di UK, Isuzu D-Max Arctic Trucks AT35 didatangkan dengan waranti selama lima tahun atau 201,168 km yang mana dahulu serta lima tahun bantuan sisi jalan di seluruh Eropah.

Satu tawaran yang bagus… cuma harga di UK ialah GBP 38,545 atau bersamaan RM 209,682. Kerasa juga kan?

BACA: KONSEP UNIK ISUZU D-MAX DAN MU-X. YA. MEMANG GANAS!

BACA: ISUZU D-MAX UTAH LUXE – BERGAYA DENGAN RIM CORAK BUNGA

Google ads
Back to top button