Buletin

CHERY ECO RUN TARIK 3,400 PENYERTAAN – BAKAL JADI ACARA TAHUNAN

Chery Malaysia baru-baru ini telah menganjurkan Chery Eco Run 2024 dengan tema ‘A New Journey To A New Green Life’, yang julung kali diadakan di Putrajaya.

Acara berkenaan berjaya menarik lebih daripada 3,400 peserta, bermula dari Dataran Wawasan dan menampilkan dua kategori, iaitu 5KM dan 10KM untuk pelari yang berpengalaman.

Menteri Pelaburan, Perdagangan, dan Industri (MITI) YB Senator Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz melancarkan acara tersebut dengan melepaskan (flag-off) pelari kategori 10km bersama Presiden Chery Malaysia Leo Chen.

Sementara itu, pelari kategori 5km dilepaskan oleh Ketua Setiausaha MITI Dato’ Hairil Yahri Yaacob.

Peserta acara Chery Eco Run juga berpeluang melihat kenderaan-kenderaan di bawah Chery Malaysia dengan lebih dekat seperti Omoda 5, Tiggo 8 Pro, dan kereta elektrik tulen pertama Chery iaitu Omoda E5 yang bakal dilancarkan di Malaysia tidak lama lagi.

“Chery Eco Run adalah titik permulaan penting bagi kami di Chery Malaysia untuk bergerak ke arah masa depan di mana kereta elektrik dan teknologi hijau menyatu bersama gaya hidup aktif serta membina persekitaran hidup lebih sihat,” kata Presiden Chery Malaysia, Leo Chen.

Memandangkan acara tersebut memperolehi sambutan positif dari para pelari, Chen menyatakan Chery Malaysia sedang mengkaji untuk menjadikan larian ini sebagai acara tahunan.

Google ads
Back to top button