Buletin

ISUZU JENAMA TRAK PILIHAN UNTUK 11 TAHUN BERTURUT-TURUT DI MALAYSIA

Isuzu Malaysia sekali lagi membuka tirai tahun baharu dengan positif apabila terus berada di kedudukan No. 1 dalam dua kategori bagi tahun 2020 iaitu sebagai trak No. 1 di Malaysia selama tujuh tahun dan jenama trak tugas ringan No. 1 untuk 11 tahun berturut-turut.

Pencapaian ini berdasarkan kepada data jualan tahunan trak yang dikeluarkan oleh Persatuan Automotif Malaysia (MAA).

Kedudukan No. 1 jenama trak untuk tujuh tahun berturut-turut itu disumbang oleh jualan keseluruhan Isuzu Malaysia sebanyak 4,747 unit dalam semua segmen sepanjang tahun lalu.

Manakala kejayaan syarikat menjadi jenama pilihan untuk trak tugas ringan di Malaysia bagi 11 tahun berturut-turut disumbangkan oleh model utama iaitu trak ELF dengan jualan sebanyak 4,551 unit pada tahun 2020.

“Jumlah trak yang dijual tahun lalu merupakan perkongsian pasaran paling tinggi pernah kami rekodkan sejak Isuzu Malaysia Sdn. Bhd. ditubuhkan.

“Di sebalik persekitaran pasaran yang sukar, saya gembira kerana kami mampu terus fokus dan memaksimumkan sumber secara efektif untuk membantu pelanggan meneruskan perniagaan mereka,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Isuzu Malaysia, Koji Nakamura.

Beberapa inisiatif strategik Isuzu Malaysia untuk mengekalkan pertumbuhan jualan trak, meningkatkan kualiti servis dan kepuasan pelanggan turut dilaksanakan.

Antaranya termasuklah pengembangan rangkaian pengedar, pengenalan inovasi produk baharu dan memastikan penyerahan trak baharu kepada pelanggan dilakukan tepat pada masanya.

Satu lagi perkara signifikan yang menyumbang kepada kejayaan Isuzu sebagai jenama pilihan trak tugas ringan pada tahun lalu ialah pengenalan model Isuzu ELF. Model yang telah dipertingkatkan itu hadir dengan Isuzu Safety Plus yang terdiri daripada pelbagai sistem keselamatan, kesesuaian bahan bakar biodiesel B20 dan manfaat jaminan lebih baik.

Peningkatan tersebut ditawarkan pada 19 varian model terlaris ELF. Ia menjadi tawaran rangkaian trak tugas ringan paling luas di pasaran, sekali gus membantu syarikat mengendalikan perniagaan yang lebih selamat, produktif dan mapan. 

Maklumat lanjut mengenai rangkaian kenderaan Isuzu, sila hubungi talian 1-300-88-1133 atau layari laman web www.isuzu.net.my.

Google ads
Back to top button