
ISUZU MALAYSIA SERAH 277 UNIT TRAK KEPADA CITY-LINK EXPRESS
Isuzu Malaysia Sdn Bhd (Isuzu Malaysia) hari ini menyerahkan 277 unit trak pelbagai model termasuk trak tugas ringan, trak tugas sederhana dan Prime Mover kepada pelanggan utamanya, City-Link Express (M) Sdn Bhd (City-Link Express).
Penyerahan tersebut disempurnakan menerusi pengedar Isuzu Malaysia, Jumbo Arena Sdn. Bhd.
Sebahagian daripada trak-trak tugas ringan tersebut dilengkapi platform Isuzu Safety Plus yang mempunyai empat ciri keselamatan penting iaitu Anti-lock Braking System (ABS), Electronic Brake Force Distribution (EBD), Anti-slip Regulator (ASR) dan Supplemental Restraint System (SRS) Airbag.
Melalui penyerahan trak-trak tersebut, City-Link Express menjadi pelanggan pertama di Malaysia yang memiliki Isuzu Safety Plus dalam trak-traknya selepas pelancaran platform keselamatan tersebut oleh Isuzu Malaysia pada 1 September lalu.
Ketua Pegawai Eksekutif City-Link Express, Ronald Tan menyatakan bahawa Isuzu menawarkan penyelesaian yang paling kos efektif kerana trak-trak tersebut menjimatkan minyak. Manakala kos untuk alat ganti, servis dan penyelenggaraan juga kompetitif. Ini dapat membantu syarikat mengurangkan kos operasi.
Bukan itu sahaja, ciri kotak hitam yang ada pada trak Isuzu juga penting buat City-Link kerana ia membolehkan syarikat memantau dan merekod dengan lebih efisien.