
JAECOO 6T REEV TIBA DI PASARAN THAILAND – TAWAR JARAK GERAK HINGGA 800KM, HARGA MULA RM113K
JAECOO secara rasmi memperkenalkan JAECOO 6T REEV di Thailand dengan harga promosi bermula 879,900 baht hingga 979,900 baht (sekitar RM113,000 hingga RM126,000) untuk 1,000 pelanggan pertama.
Selepas tempoh promosi berakhir, model ini akan dijual pada harga antara 899,900 baht hingga 999,900 baht (sekitar RM115,500 hingga RM128,500).
Menurut Autolife Thailand, promosi tersebut sah bagi tempahan sebelum 1 Julai 2026 dan penghantaran kenderaan dilakukan sebelum 31 Ogos 2026.
Dari segi dimensi, JAECOO 6T REEV tampil lebih besar berbanding versi EV sedia ada dengan ukuran panjang 4,503mm, lebar 1,950mm dan tinggi 1,785mm bersama jarak roda 2,783mm.

Model ini juga menawarkan kelegaan tanah minimum antara 215 hingga 220mm serta keupayaan meredah air sedalam 600mm.
Ruang simpanan belakang pula berkapasiti 450 liter manakala tangki bahan api mampu memuatkan 45 liter petrol.
JAECOO 6T REEV menggunakan sistem Range Extender Electric Vehicle (REEV), di mana enjin petrol 1.5 liter turbo bertindak sebagai penjana elektrik untuk mengecas bateri dan tidak memacu roda secara terus.
Bagi varian REEV 2WD, ia digandingkan dengan satu motor elektrik di belakang yang menghasilkan 252hp dan 300Nm. Kuasa disalurkan ke roda belakang menerusi bateri CATL Lithium-ion LFP berkapasiti 33.6kWh.

JAECOO mendakwa model ini mampu memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam masa 7.9 saat dengan kelajuan maksimum 160 km/j. Jarak pemanduan elektrik sepenuhnya pula mencecah 190km mengikut standard NEDC, manakala gabungan petrol dan elektrik boleh mencapai sehingga 800km.
Untuk versi REEV 4WD ULTRA, ia menggunakan dua motor elektrik dengan gabungan kuasa keseluruhan 428hp serta 505Nm. Pecutan 0-100 km/j hanya mengambil masa 5.5 saat.
Varian pacuan semua roda ini menawarkan jarak pemanduan elektrik sehingga 160km dan jarak keseluruhan 750km menggunakan gabungan tenaga elektrik dan petrol.
Sistem pengecasan menyokong pengecasan AC sehingga 6.6 kW dan pengecasan pantas DC sehingga 100kW. JAECOO mendakwa bateri boleh dicas dari 30 hingga 80 peratus dalam tempoh hanya 20 minit menggunakan pengecas DC Fast Charging.

Model ini turut dilengkapi fungsi Vehicle-to-Load (V2L) dengan kuasa maksimum 2.3kW bagi membolehkan pengguna menghidupkan peralatan elektrik luaran.
Dari sudut kelengkapan, varian 2WD MAX hadir dengan lampu utama Matrix Adaptive LED, rim aloi 19-inci, mod pemanduan ECO, Normal, Sport dan Custom, selain mod Camping serta Pet Mode.
Ruang kabin pula menampilkan paparan instrumen digital 9.2-inci bersama skrin sentuh tengah 15.6-inci yang menyokong Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar. Turut disediakan pengecas telefon pintar tanpa wayar 50W dan sistem audio lapan pembesar suara.

Antara ciri keselamatan termasuk sistem brek kecemasan automatik (AEB), kawalan jelajah adaptif (ACC), amaran titik buta, bantuan kekal lorong, kamera 360 darjah, dashcam terbina dalam serta enam beg udara.
Bagi varian 4WD ULTRA, ia menerima tambahan seperti rim 21-inci, bumbung panoramik, tempat duduk dengan fungsi urut, sistem audio Infinity 12 pembesar suara, pencahayaan ambien 64 warna dan sembilan mod pemanduan termasuk Beach, Muddy serta Bumpy.
JAECOO turut menawarkan empat pilihan warna luaran iaitu Night Black, Arctic White, Urban Grey dan Honey Yellow dengan ruang dalaman bertemakan warna hitam.

