
SAINTIS JEPUN DAKWA KERETA MANUAL BANTU OTAK KEKAL CERGAS
Walaupun transmisi automatik kini mendominasi pasaran global, sebuah kajian dari Jepun memberi bayangan bahawa kereta manual mungkin menawarkan lebih daripada sekadar pengalaman pemanduan yang menyeronokkan.
Menurut penyelidikan terbaharu, penggunaan kotak gear manual sebenarnya mampu merangsang aktiviti otak dengan lebih aktif berbanding automatik.
Kajian tersebut diketuai Profesor Ryuta Kawashima dari Institut Pembangunan, Penuaan dan Kanser di Universiti Tohoku, Jepun.
Kawashima bukan nama asing dalam dunia neurosains kerana beliau turut dikenali sebagai individu di sebalik konsep permainan popular Nintendo Brain Age yang memfokuskan latihan minda.
Laporan media automotif Jepun menyatakan bahawa proses memandu kereta manual mengaktifkan bahagian prefrontal cortex, iaitu kawasan otak yang berkait rapat dengan memori, tumpuan dan keupayaan membuat keputusan.
Ketika memandu, pemandu perlu memerhati kelajuan trafik, menekan klac, memilih gear serta mengawal pedal minyak secara serentak, sekali gus memerlukan tahap koordinasi dan fokus yang tinggi.
Berbeza dengan transmisi automatik yang lebih santai, kereta manual memerlukan penglibatan mental secara berterusan sepanjang perjalanan.
Dalam konteks negara seperti Jepun yang mempunyai populasi warga emas semakin meningkat, aktiviti harian seperti ini dipercayai boleh membantu mengekalkan fungsi kognitif dan merangsang laluan neural otak.
Namun begitu, populariti kereta manual di Jepun kini berada pada tahap sangat rendah. Laporan itu menyebut hanya sekitar satu hingga dua peratus jualan kereta baharu di negara tersebut masih menggunakan transmisi manual, manakala selebihnya dikuasai model automatik dan hibrid.
Kebanyakan model manual yang masih bertahan pula terdiri daripada kenderaan komersial kecil dan kei car asas seperti Honda N-Van, Daihatsu Hijet serta Suzuki Carry.
Model-model ini biasanya dipadankan dengan enjin tiga silinder 660cc bersama spesifikasi ringkas bagi memastikan harga kekal rendah.
Dalam segmen arus perdana, banyak pengeluar sudah meninggalkan transmisi manual sepenuhnya. Toyota Corolla dan Honda Civic misalnya kini hadir dengan transmisi CVT bagi menyesuaikan sistem hibrid moden mereka. Hanya versi prestasi tinggi seperti hot hatch masih mengekalkan pilihan manual untuk peminat tegar.
Malah Honda Prelude generasi baharu juga dilaporkan hanya ditawarkan dalam versi automatik, walaupun cuba mengekalkan rasa sporty menerusi simulasi penukaran gear secara elektronik.
Buat masa ini, kei car dan van komersial kecil menjadi benteng terakhir transmisi manual di Jepun. Jika pengeluar terus mengekalkan konfigurasi tiga pedal itu, Jepun mungkin menjadi antara negara terakhir yang masih mempertahankan pengalaman pemanduan tradisional yang semakin pupus di seluruh dunia.







