Buletin

LRT3 MAMPU TAMPUNG SEHINGGA 67,000 PENUMPANG SEHARI

Projek Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) atau kini dikenali sebagai Laluan Shah Alam yang menghubungkan Bandar Utama ke Johan Setia mampu menampung sehingga 67,000 penumpang sehari pada tahun ini.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah berkata, unjuran tersebut berdasarkan data yang diperoleh Transit Aliran Massa (MRT) dengan angka itu dijangka meningkat sehingga 126,000 penumpang sehari menjelang tahun 2030.

“Projek ini ada fasa kedua iaitu untuk menambah lima stesen dan tujuh set tren. Platform yang ada sekarang (merangkumi) 22 set tren tiga gerabak,” katanya dalam sidang Dewan Rakyat pada Isnin.

Sementara itu, menjawab soalan asal Muhammad Fawwaz Mohamad Jan (PN-Permatang Pauh) mengenai kelewatan projek LRT3, Hasbi menjelaskan, ia berikutan beberapa isu pengintegrasian sistem yang dikesan semasa ujian kritikal.

Menurutnya, ujian-ujian integrasi telah dijalankan berulang kali secara iteratif sehingga semua isu berjaya diselesaikan bagi menjamin keselamatan dan keselesaan pengguna serta kelancaran operasi tren.

“Ingin dijelaskan juga bahawa tiada sebarang penambahan kos memandangkan projek ini merupakan projek kontrak harga.



“Kontraktor juga berhadapan denda lewat siap sebanyak RM2.729 juta sehari,” jelasnya. – Sinar Harian

Google ads
Back to top button