Artikel Pilihan

PROTON SAGA CROSS, LAGI POWER DARI ATIVA PREGGY KE?

Selepas pelancaran Proton Saga generasi baharu pada tahun lepas yang dibangunkan berasaskan A-Segment Modular Architecture (AMA), perhatian kini mula beralih kepada satu lagi model yang sedang hangat diperkatakan, iaitu Proton Saga Cross.

Dikenali dengan nama kod dalaman AMA02, model ini dijangka menjadi crossover kompak pertama yang dibina menggunakan platform sama seperti Saga, sekali gus memperluaskan penggunaan seni bina modular baharu Proton kepada lebih banyak jenis kenderaan.

Platform AMA dibangunkan bagi membolehkan Proton menghasilkan pelbagai model menggunakan asas kejuruteraan yang sama, sekali gus mengurangkan kos pembangunan dan mempercepatkan pengenalan model baharu ke pasaran.

Selepas digunakan pada Saga, platform ini dijangka menjadi asas kepada Saga Cross, yang bakal menawarkan gabungan ciri praktikal sebuah SUV bersama kos pemilikan yang lebih mampu milik terutama bagi pembeli yang memerlukan SUV kompak dalam segmen A.

Berdasarkan gambar intipan yang telah muncul sebelum ini serta maklumat daripada pembekal komponen, Proton Saga Cross dijangka menjadi SUV paling kecil dan paling mampu milik dalam barisan produk syarikat itu.

Kedudukannya dijangka berada di bawah Proton X50, sekali gus mengisi jurang di antara sedan Saga dan barisan SUV sedia ada. Ini juga membolehkan Proton bersaing dalam segmen crossover kompak yang semakin mendapat sambutan, menentang model seperti Perodua Ativa, Honda WR-V dan Chery Tiggo Cross.

Kami berpendapat bagi varian asas, Saga Cross dijangka menggunakan enjin petrol 1.5 liter aspirasi semula jadi yang sama seperti digunakan pada Saga baharu. Enjin tersebut menghasilkan kuasa sekitar 120 PS dan 150 Nm tork, manakala sistem transmisi pula dipercayai menggunakan kotak gear automatik empat kelajuan daripada Aisin.

Gabungan ini dijangka menawarkan tahap ketahanan yang lebih baik serta kos penyelenggaraan yang lebih rendah, sesuai dengan kedudukan model ini sebagai sebuah SUV mampu milik. Mungkin juga ia akan ditawarkan dengan transmisi CVT daripada Punch sama seperti yang dugunakan oleh Saga.

Namun kita tidak boleh menolak kemungkinan yang Proton turut akan menawarkan varian Hybrid Electric Vehicle (HEV) untuk Saga Cross. Petunjuk mengenainya mula kelihatan ketika KLIMS 2026, apabila Proton mempamerkan sistem rangkaian kuasa hibrid baharu yang dibangunkan bersama Geely.

Walaupun syarikat itu tidak mengesahkan model yang bakal menggunakannya, ramai pemerhati industri percaya teknologi tersebut sedang disediakan untuk Saga Cross. Sistem hibrid berkenaan dipercayai berkongsi asas teknologi dengan sistem yang digunakan pada Proton e.MAS 7 PHEV, termasuk penggunaan enjin 1.5 liter serta Dedicated Hybrid Transmission (DHT).

Screenshot

Namun perbezaan utama ialah Saga Cross dijangka menggunakan konfigurasi HEV sepenuhnya, bermakna baterinya dicas secara automatik ketika pemanduan atau dengan proses brek regeneratif tanpa memerlukan pengecasan daripada sumber kuasa luaran seperti sebuah plug-in hybrid (PHEV).

Pendekatan ini menjadikannya lebih mudah digunakan oleh pemilik yang mahukan penjimatan bahan api tanpa perlu mengubah rutin harian mereka. Dedicated Hybrid Transmission yang dipamerkan Proton turut menjadi antara komponen paling menarik.

Sistem ini menggabungkan motor elektrik, inverter, pengawal elektronik serta transmisi ke dalam satu unit yang lebih padat dan cekap. Reka bentuk sebegini bukan sahaja membantu meningkatkan kecekapan tenaga, malah dapat mengurangkan berat keseluruhan sistem dan memberikan tindak balas pemanduan yang lebih lancar berbanding sistem automatik konvensional.

Walaupun Proton masih belum mendedahkan spesifikasi rasmi sistem HEV tersebut, berkemungkinan ia menggunakan konfigurasi DHT120, yang merujuk kepada motor elektrik berkuasa sekitar 120 kWatau kira-kira 163 PS. Bagaimanapun, output sebenar sistem gabungan enjin dan motor elektrik untuk Saga Cross masih belum diumumkan secara rasmi.

Selain teknologi hibrid, Proton juga dijangka memasang komponen utama sistem hibrid ini secara tempatan di Malaysia. Langkah tersebut bukan sahaja dapat meningkatkan kandungan tempatan, malah membantu mengurangkan kos pengeluaran supaya harga jualan kekal kompetitif.

Apatah lagi baru baru ini Proton mengumumkan yang mereka mampu memasang komponen HEV di kilang Tanjung Malim. Strategi ini selari dengan usaha Proton untuk memluaskan penggunaan teknologi elektrifikasi kepada model yang lebih mampu dimiliki oleh pengguna tempatan.

Setakat hari ini, Proton masih belum mengumumkan harga, dimensi rasmi, kapasiti ruang kargo, tahap keselamatan, ciri ADAS atau penggunaan bahan api bagi Saga Cross. Namun berdasarkan maklumat yang telah muncul setakat ini model ini akan muncul pada hujung tahun 2026.

Jika benar ditawarkan dengan pilihan enjin petrol konvensional dan varian HEV, Saga Cross bukan sahaja akan mengisi kekosongan dalam barisan produk Proton, malah mampu menawarkan pilihan baharu kepada pembeli yang mahukan sebuah SUV kompak dengan teknologi hibrid pada harga yang lebih mampu milik.

Google ads
Back to top button