
CHINA PIMPIN REVOLUSI ENJIN BAHARU, JEPUN AKUI KETINGGALAN
Pengeluar automotif China kini bukan sahaja agresif dalam pembangunan kenderaan elektrik (EV), malah semakin hampir dan dalam beberapa aspek sudah mengatasi keupayaan pengeluar Jepun dalam teknologi enjin pembakaran dalaman serta sistem hibrid.
Perkara itu turut diakui media Jepun sendiri menerusi laporan Nikkei Chinese yang menyatakan syarikat automotif dari China sedang mencatat kemajuan pesat dalam kecekapan enjin, teknologi penukaran tenaga dan penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam sistem kuasa.
Antara yang mencuri perhatian ialah Chery menerusi sistem hibrid “Kunpeng Tianqing” yang diperkenalkan bersama model baharu Tiggo 9 di Pameran Auto Shenzhen.
Enjin itu didakwa mencapai kecekapan haba setinggi 48.57 peratus, angka tertinggi pernah diumumkan oleh mana-mana pengeluar kenderaan setakat ini.

Geely pula tampil dengan rangkaian kuasa “i-HEV” yang digunakan pada model Xingyue L atau Monjaro.
Sistem tersebut mencatat kecekapan 48.41 peratus hasil gabungan nisbah mampatan 15.5:1, teknologi kitaran Miller serta pengurusan tenaga berasaskan AI yang mampu menyesuaikan operasi enjin mengikut keadaan altitud, suhu dan kelembapan semasa.
Sementara itu, Changan memperkenalkan “Bluecore Super Engine” yang dilengkapi sistem suntikan terus bertekanan tinggi 500-bar pertama di dunia untuk pengeluaran besar-besaran.
Teknologi itu membantu menghasilkan atomisasi bahan api yang lebih halus selain tindak balas pendikit yang lebih pantas.
Secara umum, kebanyakan enjin petrol moden ketika ini berada dalam julat kecekapan haba sekitar 38 hingga 45 peratus.
Justeru, pencapaian beberapa pengeluar China itu dilihat melepasi standard biasa industri termasuk sebahagian sistem hibrid yang sebelum ini dianggap antara terbaik dunia.
Selain peningkatan dari sudut mekanikal, pengeluar China kini semakin aktif menggabungkan AI dan teknologi sensor ke dalam unit kawalan enjin.
Sistem Geely misalnya mampu melaras pembakaran serta aliran tenaga secara masa nyata mengikut keadaan jalan dan cuaca bagi memastikan penggunaan bahan api lebih optimum.
Chery pula merancang menggunakan keluarga enjin sama untuk model plug-in hybrid (PHEV) dan kenderaan elektrik jarak tambahan (range extender EV), terutama bagi pasaran yang masih mempunyai infrastruktur pengecasan terhad.
Walaupun jualan EV global terus berkembang, pengeluar China dilihat masih memberi fokus besar kepada pembangunan enjin petrol dan teknologi hibrid kerana segmen itu masih mempunyai permintaan tinggi di seluruh dunia.
Pada 2025, Chery dilaporkan menjual sekitar 2.8 juta kenderaan dengan 70 peratus daripadanya masih menggunakan enjin petrol.
Syarikat itu turut mengeksport 1.34 juta unit, sekali gus muncul pengeksport automotif terbesar dari China.
Menurut laporan Nikkei, syarikat Jepun ketika ini masih mendominasi pasaran bukan elektrik dengan pegangan sekitar 30 peratus berbanding 20 peratus bagi China.
Namun, penganalisis GF Securities percaya gabungan enjin berkecekapan tinggi dan teknologi pintar yang dibangunkan pengeluar China berpotensi mengubah landskap pasaran hibrid global menjelang 2038.
GlobalData sebelum ini menganggarkan kenderaan hibrid masih akan menyumbang sekitar 15 peratus daripada jualan automotif dunia menjelang tahun tersebut.







