Buletin

JETOUR MULAKAN PEMASANGAN TEMPATAN DI JOHOR UNTUK MODEL DASHING DAN VT9

JETOUR Auto Malaysia kini secara rasmi memulakan operasi pemasangan tempatan untuk model SUV popularnya, JETOUR Dashing dan VT9, yang dijalankan di fasiliti milik Berjaya Assembly Sdn. Bhd. (B-Assembly), terletak di Tampoi, Johor Bahru.

Langkah ini menjadi asas penting kepada komitmen jangka panjang JETOUR dalam membangunkan kehadiran kukuh di pasaran Malaysia.

Fasiliti B-Assembly yang seluas 640,000 kaki persegi ini memainkan peranan penting dalam strategi pengeluaran JETOUR di rantau ini, lengkap dengan lebih 100 pekerja mahir yang menyokong operasi pemasangan.

Inisiatif ini bukan sahaja memperkukuh kehadiran jenama di Malaysia, malah turut menyumbang kepada matlamat negara dalam membina ekosistem automotif yang mampan melalui peningkatan kandungan tempatan dan penciptaan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi.

Ketua Pegawai Eksekutif JETOUR Malaysia, Fu Yong, turut menyatakan keyakinan bahawa langkah ini akan membolehkan pengguna menikmati kenderaan berkualiti tinggi buatan tempatan yang setanding dengan standard global.

“Kerjasama kami bersama B-Assembly membuka laluan untuk memperluas kehadiran JETOUR di seluruh ASEAN, bermula dari Malaysia,” katanya.

Sejak memasuki pasaran Malaysia pada 2025, JETOUR telah berkembang dengan pantas dan kini memiliki lebih 20 pusat jualan di seluruh negara.

Dengan pemasangan tempatan yang kini dimulakan, syarikat mensasarkan untuk meningkatkan kecekapan penghantaran, mempercepatkan masa menunggu, serta menambah nilai kepada pelanggan dari segi harga dan perkhidmatan selepas jualan.

Fasiliti B-Assembly milik penuh Berjaya Assets Berhad ini turut menampilkan teknologi terkini sejajar dengan piawaian Industri 4.0, sekali gus menepati keperluan operasi moden dan pengeluaran berkecekapan tinggi.

Buat masa ini, fokus diberikan kepada dua model utama, iaitu JETOUR Dashing, menampilkan rekaan moden dengan pendekatan urban, dan VT9, SUV 7-tempat duduk yang sesuai untuk kegunaan keluarga dan perjalanan jarak jauh.

Sehingga kini, lebih 1,000 unit telah berjaya dipasang, dengan penghantaran model Dashing CKD bermula Jun 2025 dan VT9 akan menyusul tidak lama lagi.

Melangkah ke hadapan, JETOUR sedang merangka pelaburan mencecah RM1.4 bilion di Malaysia bagi memperkenalkan lebih banyak model pemasangan tempatan dan seterusnya memperluas capaian ke pasaran ASEAN melalui aktiviti eksport.

Beberapa model baharu juga sedang dirancang untuk dilancarkan dalam masa terdekat, sejajar dengan hasrat syarikat untuk menjadi pemain utama dalam segmen SUV di rantau ini.

Google ads
Back to top button