
JETOUR GARIS PELAN STRATEGIK 2026, PERLUAS RANGKAIAN DAN MODEL SUV BAHARU
JETOUR Malaysia mengumumkan hala tuju pertumbuhan strategik bagi tahun 2026 dengan tumpuan memperkukuh kedudukan jenama dalam pasaran tempatan melalui peluasan rangkaian, penawaran produk baharu serta pembangunan infrastruktur sokongan yang lebih menyeluruh.
Sejak mula diperkenalkan di Malaysia pada 2024, JETOUR menunjukkan perkembangan yang konsisten.
Pada tahun 2025, jenama ini mencatatkan jualan sebanyak 2,741 unit kenderaan, disokong oleh 31 pusat jualan dan servis sah di 13 negeri dan wilayah utama.

Pencapaian ini mencerminkan strategi pertumbuhan yang terancang dengan penekanan terhadap kualiti perkhidmatan dan keyakinan pelanggan.
Sebagai sebahagian daripada evolusi jenama, JETOUR turut memperkenalkan logo baharu yang diinspirasikan daripada aksara Cina 行, melambangkan pergerakan dan kemajuan.
Identiti baharu ini selari dengan strategi Travel+ yang memposisikan JETOUR sebagai jenama SUV berorientasikan perjalanan dan gaya hidup.
Naib Presiden JETOUR Auto Malaysia, Nicholas Ng berkata Malaysia kekal sebagai pasaran utama dalam strategi pertumbuhan global syarikat.

Menjelang 2026, beberapa model SUV baharu akan diperkenalkan merangkumi pelbagai segmen termasuk SUV bandar, model berinspirasikan off-road serta kenderaan keluarga untuk perjalanan jarak jauh.
Antara tumpuan utama ialah T-Series yang menampilkan rekaan lebih berani dan teknologi lebih canggih.
Selain produk, JETOUR Malaysia turut merancang pelaburan dalam keupayaan operasi jangka panjang termasuk penubuhan ibu pejabat serta pusat servis utama baharu, pembangunan pusat latihan teknikal serantau dan pusat kandungan media yang dijangka siap pada separuh pertama 2026.
Dalam masa sama, jenama ini menyasarkan pengembangan rangkaian kepada 50 pusat jualan dan servis sah menjelang akhir 2026, disokong kempen selepas jualan serta program klinik kenderaan pelanggan.






