
MITSUBISHI XFORCE – BERI SAINGAN SENGIT SUV SEGMEN B
Dalam dunia SUV segmen B yang semakin sesak di Malaysia, Mitsubishi Xforce datang dengan pendekatan yang agak berbeza. Ia tidak datang sebagai SUV paling berkuasa, ia bukan juga paling futuristik dari segi rekaan.
Tapi seperti kebanyakan produk Mitsubishi yang berjaya sebelum ini, Xforce dibina dengan fokus yang sangat jelas bagi aspirasi pasaran Asia Tenggara dan Amerika Latin yang praktikal, selesa, selamat dan sesuai dengan realiti penggunaan harian di Asia Tenggara.
Persoalan besar sekarang ialah, adakah visi di atas itu cukup untuk melawan nama besar seperti Honda HR-V, Toyota Corolla Cross, Proton X70 dan gelombang SUV China yang sarat teknologi? Mari kita bedah satu-satu rekaan Mitsubishi Xforce

Reka Bentuk: SUV Bandar Dengan DNA Mitsubishi
Dari segi visual, Mitsubishi Xforce nampak matang dan ‘futuristic muscle’. Ia menggunakan bahasa rekaan Dynamic Shield generasi baharu, dengan gril depan berbentuk heksagon hitam piano, lampu hadapan Auto LED, DRL LED, serta lampu belakang LED yang nipis dan lebar.
Saiz badan Xforce meletakkannya tepat dalam kategori SUV bandar dengan panjang 4,390 mm, lebar 1,810 mm dan tinggi 1,660 mm, dan jarak antara roda 2,650 mm. Ini menjadikan kabin luas tanpa membuatkan kereta terasa terlalu besar untuk parkir bandar.
Satu angka yang menonjol ialah ground clearance setinggi 222 mm, lebih tinggi daripada kebanyakan SUV segmen sama. Ini bukan SUV off-road, tetapi jelas Mitsubishi ambil kira jalan berlubang, bonggol tinggi dan banjir kilat ringan yang biasa kita hadapi setiap hari di bandar.

Enjin & Pemanduan: Fokus Kepada Keselesaan, Bukan Lumba
Di bawah bonet, Mitsubishi Xforce menggunakan enjin 1.5 liter MIVEC DOHC 16-injap, NA (naturally aspirated). Enjin 4A91 ini menghasilkan 105 PS pada 6,000 rpm dan 141 Nm pada 4,000 rpm, dipadankan dengan transmisi CVT.
Atas kertas, ini bukan angka yang mengujakan. Tapi dalam pemanduan sebenar, karakter Xforce memang ditala untuk kelancaran. CVT bertindak balas dengan lembut, stereng elektrik ringan dan mudah dikawal, sesuai untuk pemanduan bandar dan trafik sesak.
Menariknya, Xforce hadir dengan Drive Mode Selector dengan 4 mode pemanduan iaitu Normal, Wet, Gravel dan Mud. Walaupun ia kekal pacuan roda hadapan, sistem ini mengubah respon throttle, CVT dan kawalan cengkaman untuk permukaan jalan berbeza. Ini satu ciri yang jarang ditawarkan dalam SUV bandar segmen ini.
Suspensi MacPherson Strut di depan dan Torsion Beam di belakang ditala ke arah keselesaan. Jalan rosak, sambungan jambatan dan bonggol dihadam dengan baik, tanpa rasa terlalu lembik.


Kabin: Praktikal Dan Mesra Keluarga
Masuk ke dalam kabin, Xforce terus menonjol sebagai SUV yang direka untuk kegunaan sebenar. Material kabin kemas, dengan kemasan hitam lembut dan sentuhan fabrik melange pada varian Ultimate.
Varian Ultimate menerima paparan meter digital 8-inci, manakala sistem infotainmen hadapan dipasang dengan skrin sentuh 12.3-inci, lengkap dengan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar.
Sistem audio Dinamic Sound Yamaha Premium dengan 8 pembesar suara juga eksklusif untuk varian Ultimate. Ciri yang jarang diberi perhatian tetapi sangat berguna ialah sistem pendingin hawa Dual-Zone Auto dengan Nanoe™ X.
Ruang tempat duduk belakang luas, 8 tetapan sandaran boleh dilipat 40:20:40, dan kapasiti but mencecah 410 liter, cukup besar untuk kegunaan keluarga kecil atau perjalanan jauh.

Keselamatan: Antara Yang Terbaik Dalam Kelas
Untuk aspek keselamatan, Mitsubishi Xforce varian Ultimate tampil pakej Mitsubishi Motors Safety Sensing (MMSS) yang merangkumi sistem Forward Collision Mitigation (FCM) bagi membantu mengelakkan pelanggaran hadapan, Adaptive Cruise Control dengan fungsi Stop & Go untuk pemanduan yang lebih santai, Blind Spot Warning (BSW) dan Lane Change Assist (LCA).
Turut disertakan ialah Rear Cross Traffic Alert (RCTA) r dan Automatic High Beam (AHB) yang menyesuaikan lampu tinggi secara automatik. Xforce Ultimate turut menawarkan enam beg udara, kamera 360 darjah, sensor parkir hadapan dan belakang, sistem pemantauan tekanan tayar (TPMS), Electronic Parking Brake dengan Auto Brake Hold.
Mitsubishi Xforce ditawarkan sebagai SUV yang sangat realistik mengikut keperluan sebenar pengguna. Varian Xforce Urban memberi tumpuan kepada nilai, dengan kelengkapan yang mencukupi untuk kegunaan harian tanpa membebankan kos, manakala Xforce Ultimate pula ditujukan kepada mereka yang mahukan pakej lengkap dengan teknologi lebih canggih, dan pengalaman pemanduan yang lebih premium.

Jika anda merupakan jenis pemandu yang mencari sebuah SUV yang selesa, senyap, praktikal dan selamat, tanpa terlalu mementingkan angka kuasa atau pecutan semata-mata, Xforce adalah pilihan yang sangat masuk akal. Hakikatnya, Mitsubishi Xforce tidak cuba menjadi “hero” dari segi prestasi atau membuatkan anda teruja setiap kali menekan pedal minyak, tetapi ia berjaya menjadikan kehidupan harian lebih mudah dan tenang.
Dengan kedudukan pemanduan yang tinggi, kabin luas, teknologi yang mencukupi serta ciri keselamatan antara terbaik dalam kelasnya, Xforce lebih menumpukan kepada apa yang benar-benar penting dalam dunia sebenar, bukan sekadar angka 0–100 km/j di atas kertas.

