Motosikal

JPJ AKAN SITA MOTOSIKAL PENUNGGANG TIADA LESEN, LKM TAMAT TEMPOH DAN TUNGGANG SECARA BERBAHAYA

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan menyita penunggang motosikal yang didapati melanggar kesalahan jalan raya di bawah Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Operasi) JPJ, Aedy Fadly Ramli berkata, tindakan tegas itu akan dikuatkuasakan melibatkan pelbagai kesalahan antaranya seperti tiada lesen memandu, Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh dan menunggang motosikal secara berbahaya.

“Kita juga memberi peringatan dan amaran bahawa mereka yang terlibat dalam kegiatan lumba haram dan menunggang motosikal secara berbahaya akan berdepan tindakan tegas termasuk penyitaan motosikal di bawah Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang akan dikuatkuasakan. 

“Yang mana tidak ada lesen dan cukai jalan akan sita dan pemilik kenderaan dipanggil sebelum dilepaskan,” katanya dalam Op Lejang Fasa 1 di Plaza Tol Bentong, semalam.

Sehingga pukul 12 tengah hari ini sebanyak 796 buah di periksa dalam Ops Lejang 1 di Plaza Bentong yang menyasarkan 3,000 motosikal diperiksa. Menurut Aedy Fadly, berdasarkan data JPJ, sejak 2018 hingga Jun 2022 sebanyak 3.7 juta motosikal diperiksa dengan 1.3 juta motosikal telah diambil tindakan.

Antara kesalahan tertinggi yang direkodkan adalah tiada lesen memandu dengan 471,665 kesalahan diikuti LKM tamat tempoh sebanyak 313,174 kesalahan dan tiada perlindungan insuran sebanyak 299,722 kesalahan.

Mengulas isu mat rempit, pihaknya memandang serius perkara itu dan akan mengambil tindakan tegas dan menyeluruh dalam isu berkenaan. JPJ juga telah mengenal pasti lokasi ‘panas’ yang menjadi tumpuan aktiviti mat tempit di seluruh negara seterusnya bersedia melaksanakan pemantauan dan penguatkuasaan.

“Kita juga meminta orang ramai agar memaklumkan lokasi-lokasi pelumba haram dan operasi lumba haram kepada pihak JPJ untuk tindakan lanjut,” ujarnya. – Utusan Online

Google ads
Back to top button